PKP: Mahkamah dibuka hari ini dengan kawalan ketat

Selepas lapan minggu penutupan separa ekoran penguat kuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dibuka secara berperingkat dengan Kawalan keselamatan diperketatkan, hari ini.
Selepas lapan minggu penutupan separa ekoran penguat kuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dibuka secara berperingkat dengan Kawalan keselamatan diperketatkan, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas lapan minggu ditutup separuh berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dibuka secara berperingkat dengan kawalan keselamatan diperketatkan, hari ini.

Orang awam mula memenuhi ruang legar mahkamah seawal jam 8 pagi bagi persediaan mengikuti prosiding kes masing-masing dan bagi memastikan orang ramai mematuhi penjarakan sosial, petugas mahkamah serta kakitangan keselamatan membantu melancarkan pergerakan bagi mengelak kesesakan di ruang lobi.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian, dua pintu masuk dibuka kepada orang awam manakala satu untuk laluan peguam, kakitangan mahkamah dan petugas media selain satu kaunter disediakan bagi memudahkan orang awam untuk memeriksa lokasi kamar mahkamah.

Sebelum memasuki premis, setiap pelawat yang hadir dikehendaki mengisi borang khas dengan memasukkan nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon, tujuan kehadiran dan lokasi yang ingin dituju.

Mereka yang hadir turut dikenakan syarat untuk memakai penutup mulut dan hidung, akan diperiksa suhu badan sebelum diberi pelekat kebenaran memasuki premis.

Seorang pengawal keselamatan memeriksa suhu pelawat yang hadir di Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi.
Seorang pengawal keselamatan memeriksa suhu pelawat yang hadir di Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi.

Hari ini, tiga mahkamah tinggi dibuka, begitu juga masing-masing empat mahkamah sesyen jenayah dan mahkamah majistret sivil.

Lima lagi mahkamah majistret, enam mahkamah sesyen sivil dan masing-masing tujuh mahkamah tinggi sivil serta dagang dibuka serentak hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peguam, P. Chandran berkata, beliau menyokong usaha Badan Kehakiman Malaysia melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ketat di mahkamah.

“Saya hadir hari ini untuk mengendalikan kes sivil tapi jika pengurusan kes, saya setuju dengan langkah mahkamah yang memperkenalkan konsep ‘e-filling’ iaitu pengisian kes secara dalam talian.

“Secara tidak langsung, peguam tidak perlu hadir ke mahkamah dan mengurangkan pergerakan fizikal di tempat awam,” katanya.

Sementara itu, seorang awam S. Thivyashini, 22, berkata, walaupun SOP di sini diperketatkan, namun tiada kesesakan di ruang lobi mahkamah.

“Masa mula sampai, saya terkejut sebab nampak orang ramai beratur, tetapi rupanya tak sampai seminit saya sudah dibenarkan masuk.

“Ini menunjukkan kakitangan yang bertugas sangat efisen, semua perkara dibuat dengan teratur,” katanya.