X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

Warga emas cedera dipukul penyamun

Mesej yang tular di aplikasi WhatsApp semalam.
A
A

SABAK BERNAM - Seorang warga emas cedera di bahagian kepala dan jari manis tangan kanan apabila dipercayai dipukul dengan batang kayu oleh seorang suspek yang memecah masuk rumah wanita itu di Kampung Bagan Nira di sini kelmarin.

Kejadian jam 5.30 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 74 tahun sedang berehat di biliknya selepas bersahur.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, suspek dipercayai memecah masuk melalui tingkap bilik rumah berkenaan.

"Mangsa tidak nampak dengan jelas muka suspek walaupun tidak memakai topeng muka berikutan keadaan di dalam bilik yang gelap," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Agus Salim berkata, suspek yang bergelut dengan mangsa sempat memukul mangsa sebelum melarikan diri selepas mangsa yang dalam keadaan ketakutan menjerit meminta pertolongan.

"Sejurus suspek melarikan diri, mangsa sempat memeriksa keadaan dalam rumah namun mendapati tiada kesan selongkar dan tiada barang berharga yang hilang.

"Hasil siasatan polis mendapati mangsa tinggal bersendirian berikutan dua anaknya tinggal di luar Selangor," katanya.

Menurut beliau, mangsa yang dalam keadaan kesakitan kemudian terus mengayuh basikal ke rumah jirannya bagi meminta pertolongan.

"Jirannya kemudian meminta bantuan anak saudaranya untuk membawa mangsa ke hospital kerana sudah berlumuran darah di kepala dan jarinya.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam dalam keadaan masih sedarkan diri serta boleh bercerita dengan jelas," katanya.

Katanya, mangsa kemudian dirujuk ke Pakar Tulang di Hospital Teluk Intan, Perak bagi merawat jari mangsa yang patah.

"Polis sehingga kini masih menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Sebelum ini tular di aplikasi WhatsApp berhubung beberapa kejadian pecah rumah berlaku di daerah Sabak Bernam.

"Warga emas ditetak di tangan kini berada di wad, semalam kes pecah rumah berlaku di Batu 39 dan hari ini berlaku di Kampung Baharu," menurut mesej yang tular berkenaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!