Pekan Rantau Panjang sunyi sepi

Walaupun kerajaan telah mengumumkan PKPB, aktiviti membeli-belah di pekan itu masih sunyi.. FOTO: Pembaca
Walaupun kerajaan telah mengumumkan PKPB, aktiviti membeli-belah di pekan itu masih sunyi.. FOTO: Pembaca
A
A
A

PASIR MAS - Sepi dan lengang! Itu gambaran terkini di ‘syurga' membeli-belah di Rantau Panjang menjelang persiapan menyambut Aidilfitri dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Tinjauan Bernama di pekan bebas cukai itu mendapati suasana ketika ini tidak seperti tahun-tahun sebelumnya dengan pekan tersebut sunyi sepi tanpa pengunjung khususnya umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri dua minggu lagi.

Pengerusi Persatuan Peniaga Rantau Panjang, Ramli Abdullah berkata, walaupun kerajaan telah mengumumkan PKPB, aktiviti membeli-belah di pekan itu masih sunyi.

"Jika adapun hanya masyarakat tempatan yang datang membeli barang untuk persiapan Aidilfitri sedangkan kebanyakan peniaga di sini berniaga pakaian dan kain.

"Sekarang ini perniagaan di sini tidak 'hidup', jika kami buka kedai tiada sambutan dan membuang masa serta menambah kos operasi harian," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada tahun-tahun sebelumnya, minggu-minggu terakhir menjelang Hari Raya menyaksikan pekan Rantau Panjang meriah dengan pelanggan yang terdiri daripada penduduk setempat dan juga perantau yang pulang ke negeri ini selain dari negara Thailand.

"Sekarang ini pintu sempadan negeri tidak dibuka dan perantau tidak dibenarkan pulang begitu juga pintu sempadan Malaysia-Thailand yang masih ditutup, ia memberikan kesan kepada lebih 1,000 peniaga di sini malah ada yang terpaksa tutup kedai.

"Untuk berniaga dalam talian sukar kerana rata-rata peniaga di sini sudah berusia dan tidak mempunyai kemahiran menggunakan kaedah perniagaan itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang peniaga pakaian dan kain, Syed Bazlishah Syed Muhammad, 49, berkata, sejak berniaga di pekan tersebut hampir 30 tahun lalu suasana ketika ini memeritkannya berikutan jualan harian terjejas teruk.

"Ketika ini berniaga dari jam 9 pagi hingga 5 petang hanya mendapat RM300 sehari berbanding sebelum ini melebihi RM1,000. Jumlah RM300 itu hanya cukup bayar sewa kedai RM1,500 sebulan tidak termasuk bayar gaji pekerja," katanya. - Bernama