Tiada lagi kuih akok, roti sira

Asah (kanan) menunjukkan kanser tulang pipi yang dihidapi oleh suaminya.
Asah (kanan) menunjukkan kanser tulang pipi yang dihidapi oleh suaminya.
A
A
A

PASIR MAS - Kuih akok dan roti sira antara hidangan yang menjadi pilihan Mat Rofi Hamzah, 54, dari Kampung Kual di sini sepanjang Ramadan setiap kali berbuka puasa.

Namun sejak setahun lalu, Mat Rofi terpaksa melupakan keenakan rasa makanan tersebut selepas lelangitnya dibuang akibat serangan penyakit kanser tulang pipi.

Isteri, Asah Muhammad, 49, berkata, suaminya itu sekarang bergantung harap sepenuhnya kepada makanan lembut untuk mendapatkan tenaga.

"Suami amat suka kuih akok dan roti sira namun Ramadan tahun ini dia terpaksa diberikan susu sebagai sumber makanan utama.

"Setiap tiga jam sekali saya terpaksa memberikan suami susu bagi memastikan badannya terus kekal bertenaga. Bagaimanapun susu itu hanya bertahan satu tin untuk dua hari sahaja," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Terdahulu, Mat Rofi dan Asah menerima kunjungan dari wakil Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial Kelantan (Kelss) Tok Ubah, Mohd Shukri Mat Daud dan Mohd Fazrul Nizam Ariffin.

Mat Rofi (dua dari kanan) menerima kunjungan dari wakil Kelss di rumahnya di Kampung Kual.
Mat Rofi (dua dari kanan) menerima kunjungan dari wakil Kelss di rumahnya di Kampung Kual.

Menurutnya, sejak kanser menyerang Mat Rofi hilang upaya untuk bekerja dan tahap kesihatannya makin menyusut selain terpaksa 'berperang' dengan kesakitan.

Artikel Berkaitan:

"Hasil upah dari kerja-kerja menoreh getah itu dapatlah saya gunakan untuk menyara suami dan empat anak yang masih bersekolah.

"Enam lagi anak saya sudah bekerja. Sungguhpun bekerja kilang anak-anak mereka tetap mengirimkan wang belanja walaupun ada kalanya terpaksa mengikat perut kerana ada dalam kalangan mereka sudah berumah tangga," katanya.

Katanya, bagi meneruskan kelangsungan hidup dia mengambil alih tugas ketua keluarga dengan mengambil upah menoreh getah bagi memastikan dapur rumah mereka terus berasap.

"Beban hidup kami sedikit berkurangan apabila mendapat bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Setiap dua minggu sekali suami terpaksa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjalani pemeriksaan rutin," katanya.

Asah berkata, sungguhpun begitu dia masih perlu bekerja keras bagi memastikan suaminya terus kental melawan penyakit tersebut.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Asah di 0300741100004772.