Pisang berbuah dua kali di Kedah

Muhkriz (tengah) pada sidang media bersama ADUN PH dan Bersatu di Seri Mentaloon, Alor Setar pada 27 Februari lalu ketika mengumumkan Kedah kekal ditadbir PH dan Bersatu. Kedudukan beliau sebagai Menteri Besar telah berakhir semalam.
Muhkriz (tengah) pada sidang media bersama ADUN PH dan Bersatu di Seri Mentaloon, Alor Setar pada 27 Februari lalu ketika mengumumkan Kedah kekal ditadbir PH dan Bersatu. Kedudukan beliau sebagai Menteri Besar telah berakhir semalam.
A
A
A

Kehidupan kita ibarat roda, ada kala berada di atas, ada masa tersungkur ke bawah. Benar bagai dikata, percaturan hidup mahupun politik tidak dapat kita jangkakan.

Dalam kehidupan kita, jarang sekali berlaku ‘pisang berbuah dua kali’, terutama berlaku kepada individu yang sama.

Apa yang terjadi dalam politik Kedah menempa sejarah tersendiri apabila Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dua kali disingkirkan daripada kerusi empuknya.

Biarpun aura Mukhriz sebenarnya amat kuat di hati rakyat Kedah sejak beliau diangkat sebagai calon Pilihan Raya Umum 2013, namun ia tidak dapat menyelamatkan lagi kedudukan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu yang berdepan kemelut politik terbaharu.

Perjalanan politik Mukhriz tidak setenang wajahnya. Ahli Parlimen Jerlun itu berdepan pelbagai liku politik sejak dirinya menyatakan hasrat bertanding jawatan Naib Presiden UMNO suatu ketika dahulu.

Pada tahun 2013, apabila Mukhriz diuar-uarkan sebagai calon Menteri Besar Kedah sekiranya rakyat memulangkan mandat kepada Barisan Nasional (BN), ketika Kedah ketika itu ditadbir Pas bawah kepimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, strategi itu membuahkan hasil.

Ketika itu, ramai menganggap Mukhriz banyak bergantung kepada populariti bapanya, Dr Mahathir dan pemilihannya ternyata berkesan untuk BN merampas kembali Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama. Pendekatan berhemah Mukhriz selain sengketa bapanya dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyebabkan beliau berdepan situasi sukar.

Artikel Berkaitan:

Buat pertama kali, Mukhriz hilang kepercayaan daripada UMNO Kedah dan wakil rakyat secara konsensus pada 20 Januari 2016, yang menolak beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah.

Ia angkara kelantangan ‘suara’ Mukhriz yang sering memberikan pandangan kurang senada dengan Najib menyebabkan wujud usaha di peringkat dalaman parti untuk menjatuhkannya.

Akhirnya Mukhriz terpaksa mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah pada 3 Februari 2016 apabila beliau hilang sokongan majoriti di DUN Kedah.

Apabila Mukhriz turut dipecat daripada UMNO pada 24 Jun 2016, bermulalah era Mukhriz sebagai pemimpin pembangkang, namun auranya masih diterima rakyat Kedah sehinggalah beliau dan beberapa pemimpin bekas UMNO menubuhkan Bersatu.

Mukhriz bangkit bersama Pakatan Harapan (PH) dan berjaya merampas Kedah daripada BN yang kalah teruk pada PRU14. Masih terngiang perkataan pertama diungkapkan Mukhriz sebaik dilantik buat kali kedua sebagai Menteri Besar Kedah, I’m back, cuma bezanya bersama PH.

Liku politik Mukhriz tidak berakhir di situ. Beliau sekali lagi berdepan saat sukar apabila dilihat tidak senada dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.

Mukhriz selaku Timbalannya hanya menunggu masa kemungkinan dikenakan tindakan oleh parti yang diasaskannya itu, termasuk dipecat daripada parti.

Namun, nasib Mukhriz kali ini seakan-akan tidak lagi dapat diselamatkan apabila buat kali kedua beliau hilang kepercayaan daripada 23 ADUN, termasuk empat ADUN daripada partinya sendiri yang kini berpaling tadah menyokong Perikatan Nasional (PN).

Pada 27 Februari lalu, Mukhriz mengumumkan Kedah kekal ditadbir beliau dengan sokongan kesemua ADUN PH dan Bersatu biarpun kerajaan Persekutuan dikuasai PN, menjadikan Kedah sebagai negeri pembangkang.

Hari ini semuanya berubah sekelip mata apabila episod bermula dengan pengumuman dua ADUN PKR, Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasarudin (Lunas) keluar parti dan isytihar bebas dengan menyokong PN.

Seterusnya disusuli sidang media Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, yang mengumumkan mendapat sokongan 23 ADUN termasuk terbaharu daripada ADUN Bersatu, iaitu ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail; ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadian Saad; ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad serta ADUN Ayer Hangat, Juhari Bulat.

Perubahan sokongan itu menjadikan PN beroleh majoriti 23 sokongan ADUN, meninggalkan PH hanya dengan 13 kerusi.

Pada sidang medianya semalam, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya turut bersimpati dengan nasib Mukhriz yang sering kecundang di tengah jalan.

“Saya simpati dengan nasib Mukhriz... sebagai seorang pemimpin politik yang terpaksa alami dua kali senario sama dalam kariernya. Beliau sepatutnya mengambil tindakan untuk bersama Muhyiddin untuk elak pisang berbuah dua kali. Sekali kena cukuplah, ini kali kedua,” katanya.