MPFL: Misi serampang dua mata

Saiful Nizam meletakkan dua misi peribadi iaitu mengekalkan gelaran penjaring terbanyak selain membantu Pahang Rangers meraih kejuaraan sulung MPFL pada musim ini.
Saiful Nizam meletakkan dua misi peribadi iaitu mengekalkan gelaran penjaring terbanyak selain membantu Pahang Rangers meraih kejuaraan sulung MPFL pada musim ini.
A
A
A

Penyerang futsal kebangsaan, Saiful Nizam Mohd Ali meletakkan dua misi peribadi iaitu, mengekalkan gelaran penjaring terbanyak selain membantu Pahang Rangers meraih kejuaraan sulung Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) pada musim ini.

Sehubungan itu, beliau berharap dapat meneruskan momentum cemerlang bersama pasukan Pantai Timur itu untuk merampas kejuaraan MPFL daripada Selangor.

"Saya harap dapat meningkatkan prestasi dan mengulangi gelaran penjaring terbanyak sekali lagi, tapi itu bukan sasaran utama saya kerana keutamaan saya tahun ini untuk membawa Pahang Rangers bergelar juara.

"Kalau dapat penjaring terbanyak itu satu bonus, tetapi saya akui bukan mudah untuk melakukannya kerana prestasi pastinya sedikit terjejas apabila berehat lama disebabkan wabak Covid-19.

"Saya kena bekerja keras dan berharap semua pemain dapat mengekalkan disiplin untuk kekal cergas,” kata Saiful Nizam dalam kenyataan dikeluarkan Pahang Rangers hari ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum membuat pengumuman rasmi status pertandingan di bawah kelolaan mereka, tetapi Setiausaha Agung Stuart Ramalingam sebelum ini memberi bayangan bahawa pertandingan MPFL dijangka akan diteruskan bersama saingan Liga Malaysia pada September ini.

Saiful Nizam berkongsi kedudukan penjaring terbanyak MPFL musim lepas bersama dua lagi pemain kebangsaan iaitu Fariq Ahmad (Selangor) dan Ridzwan Bakri (Perak) dengan 18 gol. - Bernama

Artikel Berkaitan: