LHDN Jalan Duta 'sibuk' urusan rayuan BPN

Petugas LHDN memberikan penerangan kepada orang awam yang sedang beratur bagi urusan rayuan BPN.
Petugas LHDN memberikan penerangan kepada orang awam yang sedang beratur bagi urusan rayuan BPN.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Jalan Duta di sini sibuk berbanding biasa susulan orang ramai hadir menyelesaikan urusan rayuan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang mula dibuka hari ini hingga 31 Mei depan.

Sinar Harian difahamkan, orang ramai mula beratur seawal jam 8 pagi ini, namun sekitar jam 1 tengah hari, didapati bilangannya mula berkurangan.

Sebanyak sembilan kaunter termasuk tiga kaunter tambahan dibuka di luar bagi memudahkan urusan orang awam mengemukakan borang rayuan tersebut.

Sebelum masuk ke pejabat LHDN, orang awam akan disaring suhu terlebih dahulu sebelum dibenarkan menunggu di bawah khemah sementara dipanggil di kaunter berkaitan.

Kaunter tambahan dibuka di luar bangunan bagi melancarkan urusan pemohon.
Kaunter tambahan dibuka di luar bangunan bagi melancarkan urusan pemohon.

Jumlah pengguna yang terlalu ramai menyebabkan jumlah orang yang berurusan dihadkan bagi mengelakkan keadaan tidak terkawal dan tempoh menunggu terlalu lama.

Seorang staf memaklumkan, kebanyakan pengguna yang datang ke sana perlu melengkapkan borang rayuan berserta dokumen berkaitan bagi melancarkan urusan.

Sementara itu, tinjauan terhadap orang awam di sana memaklumkan, terdapat antara mereka ditolak permohonan BPN disebabkan masalah sistem.

Artikel Berkaitan:

Seorang pesara, Samimah Salleh, 60 memaklumkan, permohonannya ditolak atas faktor tiada nombor cukai pendapatan.

"Itu maklumat yang diperoleh melalui semakan yang dibuat secara atas talian, jadi saya datang ke kaunter hari ini untuk membawa dokumen berkaitan.

"Sebelum ini, ada juga cuba hubungi talian bebas bagi proses rayuan dan pengesahan namun panggilan itu tidak berjawab. Hari ini baru ada masa untuk menyelesaikan urusan di kaunter," katanya.

Seorang penghantar surat, Muhd Fakhry Afif, 25, pula berdepan masalah permohonan tidak layak bagi kategori BPN bujang sedangkan beliau merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

MUHD FAKHRY
MUHD FAKHRY

Jelasnya, beliau hadir bagi menyelesaikan urusan rayuan BPN dan berharap bantuan itu diperoleh sebelum Aidilfitri bagi kegunaan hari raya nanti.

Sementara itu seorang pekerja swasta, Zulhilmi Shariff, 29, berkata, permohonannya ditolak selepas data pendapatan isi rumah melebihi angka RM8,000 sedangkan jumlah pendapatannya dan isteri kurang daripada jumlah tersebut.

ZULHILMI
ZULHILMI

"Sebelum ini saya tak layak terima bantuan BSH, ini baru kali pertama mohon BPN. Masa yang ada hari ini saya datang untuk selesaikan urusan BPN," katanya.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan rayuan BPN susulan terdapat rungutan orang ramai yang gagal menerima pembayaran itu atas pelbagai masalah termasuk maklumat tidak lengkap, isu pendapatan dan lain-lain.

Rayuan boleh dibuat secara e-mel kepada LHDN atau hadir berurusan dengan pejabat LHDN bermula hari ini bagi negeri yang bercuti semalam sempena Nuzul Quran.