Padah gigit lengan polis!

Seorang pelayan restoran yang menggigit lengan seorang anggota polis yang mahu menahannya hujung bulan lepas.
Seorang pelayan restoran yang menggigit lengan seorang anggota polis yang mahu menahannya hujung bulan lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pelayan restoran yang menggigit lengan seorang anggota polis yang mahu menahannya hujung bulan lepas didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali menjatuhkan hukuman itu terhadap Suresh Kumar, 33, selepas dia mengaku bersalah sengaja melakukan kekerasan dengan menggigit lengan kanan Ismail Abu Hassan pada 30 April lepas.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di PV21 Kondominium Jalan Genting Klang, Setapak di sini pada jam 10.20 malam menurut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh sementara lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dan turut mengakui tahu perbuatannya adalah salah serta melahirkan rasa kesal.

Di mahkamah sama, kelindan lori S Vijendran, 28, didenda RM1,000 atau penjara sebulan kerana menyamar sebagai pegawai polis dan menunjukkan gari kepada seorang lelaki semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Majistret Fardiana Haryanti menjatuhkan hukuman itu ke atas Vijendran selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berpura-pura memegang jawatan sebagai seorang pegawai polis dan dengan jawatan tersebut dia berpura-pura menunjukkan gari kepada Sudirman Panijian, 43, di Pasar Pudu di sini pada 5.30 petang, 7 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Nurilya Ellyna memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh manakala peguam Ahmad Nabil Abd Rani daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon denda minimum.

“Tertuduh hanya memperoleh gaji RM1,200 sebulan dan perlu menanggung isteri serta dua anaknya berumur lapan tahun serta sebulan,” kata peguam itu. - Bernama