Solat semasa PKPB: Negeri Sembilan tunggu laporan Jawatankuasa Fatwa

Aminuddin pada sidang media di kediaman rasminya di sini hari ini.
Aminuddin pada sidang media di kediaman rasminya di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan masih menunggu laporan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan berhubung solat berjemaah atau Jumaat di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir beserta Undang Yang Empat.

“Saya masih menunggu laporan daripada Majlis Fatwa Negeri Sembilan untuk kita bincangkan dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berserta Undang Yang Empat,” katanya pada sidang akhbar di kediaman rasminya di sini hari ini ketika ditanya pemberita berhubung solat berjemaah di masjid dan surau.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyatakan resolusi berkaitan garis panduan solat Jumaat dalam tempoh PKPB yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) akan dibawa kepada Majlis Raja-Raja.

Beliau berkata, ia sebagai pandangan dan nasihat untuk dipertimbang serta diputuskan pihak berkuasa agama negeri.

Berhubung seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Wisma Negeri yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) semalam, Aminuddin berkata, hanya jabatan itu yang diarah tutup dua hari bagi kerja-kerja sanitasi dan bukannya keseluruhan pejabat di Wisma Negeri.

Sementara itu beliau menasihatkan supaya masyarakat terus berdisiplin mengamalkan penjarakkan sosial dan langkah-langkah lain bagi mengelak penularan Covid-19 meskipun sudah banyak kelonggaran diberi oleh kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan: