Tiada lagi nasihat kepada yang ingkar SOP PKPB!

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan tidak lagi menggunakan pendekatan nasihat bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sejak 4 Mei lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi mesyuarat yang diadakan hari ini berkata, kerajaan bersetuju untuk menamatkan fasa pendekatan nasihat kepada pematuhan tersebut.

"Mesyuarat juga mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan khas operasi pematuhan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang tidak mematuhi SOP PKPB yang dikeluarkan.

"Jadi saya beri peringatan kepada mereka yang melakukan kesalahan melanggar SOP PKPB dan peraturan di bawah Akta 342, hukumannya boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang akhbar harian (Non-Health) di sini hari ini.

Tegasnya, jika tidak mahu berdepan dengan tindakan undang-undang, semua pihak perlu terus patuhi SOP dikeluarkan kerajaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, setakat semalam, sebanyak 53,259 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKPB dilaksanakan di seluruh negara.

Beliau berkata, sebanyak 4,229 pasar raya, 3,795 restoran dan 1,473 kilang serta 2,833 bank telah diperiksa.

"Pemeriksaan juga dibuat di 924 terminal pengangkutan darat, 155 terminal pengangkutan air dan 85 terminal pengangkutan udara.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, sebanyak 22,849 buah kenderaan persendirian dan 1,969 kenderaan awam turut diperiksa dalam operasi pematuhan itu," katanya.

Turut diperiksa katanya, sebanyak 1,628 pasar awam, 3,321 tempat ibadah, 1,258 tempat riadah dan 259 tapak binaan.