X

Kindly register in order to view this article
!

PKP mungkin dilaksana kembali jika gagal patuhi PKPB

Ismail Sabri ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak mustahil diperketatkan semula sekiranya masih ramai yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan itu dijalankan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memberi peringatan kepada semua bahawa PKPB tidak akan kekal terus sebagai PKPB, tetapi boleh kembali kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada fasa satu, dua dan tiga.

"Ia tertakluk kepada kepatuhan rakyat yang kini menikmati sedikit kelonggaran daripada PKPB.

"Jika berlaku banyak ketidakpatuhan, bukan perkara mustahil jika kerajaan perkenalkan semula PKP asal (fasa satu hingga tiga) dan membataskan kembali pergerakan kita," katanya pada sidang akhbar harian (Non-Health) di sini hari ini.

Terdahulu, tular beberapa maklumat dan gambar memaparkan kesesakan yang berlaku di warung-warung sekitar Kampung Pandan semalam menunjukkan kegagalan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan terutamanya dari segi penjarakkan sosial.

Ismail Sabri berkata, itu merupakan satu contoh keadaan seolah-olah orang ramai menganggap sudah tiada undang-undang dikuatkuasakan pada tempoh PKPB ini.

Beliau berkata, ramai menganggap PKPB ini sebagai kebebasan tanpa syarat dan ambil kesempatan untuk keluar beramai.

"Saya ingatkan sekali lagi dan tekankan bahawa Akta 342 masih berkuatkuasa.

"Bagi saya lebih baik kita nikmati kebebasan bersyarat walaupun terdapat SOP perlu dipatuhi supaya di akhirnya kita dapat tamatkan PKPB ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus