Pokok kurma berbuah di Masjid India

Satu daripada 10 pokok kurma yang dikesan berbuah sejak seminggu lalu.
Satu daripada 10 pokok kurma yang dikesan berbuah sejak seminggu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pokok kurma yang ditanam di Masjid India setahun lalu menarik perhatian orang ramai termasuk Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan apabila ia kini mula mengeluarkan buah.

Nor Hisham tiba di kawasan itu pada jam 10 pagi ini untuk melihat secara lebih dekat dan sempat memetik buah tersebut.

Menurutnya, perkembangan positif itu membuktikan pokok dari iklim berbeza itu boleh berbuah jika proses penanaman dan penjagaan diberi perhatian sebaiknya.

"Kalau di negara Arab benda ini biasa. Walaupun tak sebesar mana tapi kita boleh lihat dan rasanya bersama.

"Pokok kurma sama juga ada ditanam Masjid Jamek empat tahun lalu, kira-kira tujuh batang pokok namun belum berbuah sehingga kini," katanya ketika meninjau lokasi itu hari ini.

Nor Hisham memetik buah kurma yang telah masak.
Nor Hisham memetik buah kurma yang telah masak.

Sebanyak 10 pokok kurma ditanam bagi tujuan landskap di bawah River of Life (ROL) yang satu daripada pokok itu dikesan berbuah sejak seminggu lalu.

Kongsinya, pokok kurma di Masjid India itu di taman secara 'instant' selepas insiden kebakaran di lokasi kejadian pada awal pagi Mei tahun lalu sehingga menyebabkan 30 gerai jualan di bazar berkenaan yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian, tudung, beg dan kasut hangus.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nor Hisham berkata, orang awam bagaimanapun tidak dibenar memetik buah kurma tersebut buat masa ini.

Beliau juga turut memberitahu bahawa kerjasama boleh dijalankan bersama Jabatan Pertanian untuk melihat kesesuaian dari segi baja dan sebagainya bagi memastikan kurma di kawasan berkenaan terus berbuah.

"Insya-ALLAH kalau dijaga dan dibaja, bila dah berbuah nanti buah-buah ini boleh dipetik dan dikongsi bersama," katanya.