X

Kindly register in order to view this article
!

60 tekong diberkas sepanjang PKP

Antara migran yang ditahan dalam Op-Pintas Bersepadu Selatan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 60 tekong yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan migran berjaya ditahan pihak berkuasa menerusi Op Pintas Bersepadu Selatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam tempoh yang sama pihaknya juga telah menahan seramai 90 migran terdiri daripada pelbagai warganegara termasuk dari Indonesia.

"Tekong yang ditahan berusia antara 23 hingga 57 tahun manakala migran yang ditahan berusia antara 1 hingga 60 tahun.

"Menerusi Op-Pintas Bersepadu Selatan ini, kita akan memberi lebih tumpuan kepada penangkapan tekong dalam memastikan jenayah penyeludupan migran ini dapat dihalang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, pihaknya turut menjangka akan ada lebih banyak pergerakan keluar migran dari negara ini menjelang ketibaan hari raya tidak lama lagi.

"Tujuan kita tangkap migran yang keluar adalah untuk siasatan bagi menangkap tekong. Kita perlukan saksi untuk menuduh tekong di mahkamah.

"Jika tindakan tidak diambil kita tidak akan berjaya menangkap tekong," katanya.

Namun beliau memberitahu, perkara yang lebih dibimbangi adalah pergerakan masuk migran ke negara ini selepas tempoh perayaan.

Sementara itu, Ayob Khan turut memaklumkan seramai tujuh tekong terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing telah dituduh di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada Ahad lalu.

"Mereka dituduh di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus