X

Kindly register in order to view this article
!

Perbicaraan 1MDB Najib akan disambung selepas Parlimen bersidang

Najib -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perbicaraan kes berprofil tinggi Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadapi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadual pada 18 Mei telah ditangguh kepada keesokan hari berikutnya bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menghadiri sidang sehari Dewan Rakyat.

Timbalan pendakwaraya, Ahmad Akram Gharib berkata, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah menghantar e-mel kepada Mahkamah Tinggi pada Jumaat lepas untuk memohon tarikh baharu itu.

"Permohonan pihak pembela telah diluluskan dan perbicaraan akan bersambung pada 19 Mei, jam 2 petang,” katanya.

Perbicaraan itu yang mendapat liputan meluas menjalani prosiding terakhir pada 13 Mac di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Mahkamah sebelum itu menetapkan 19-20 Mac, 23-27 Mac dan 30-31 Mac; 1-30 April; dan 4-8 Mei, 11-22 Mei termasuk Jumaat untuk meneruskan perbicaraan itu.

Tarikh lain yang ditetapkan ialah seluruh bulan Jun, Julai, Ogos, September dan Oktober termasuk Jumaat.

Namun prosiding itu telah ditangguhkan beberapa kali susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

Apabila perbicaraan disambung semula, peguam bela Najib dijangka akan meneruskan soal balas saksi kesembilan pendakwaan iaitu bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang menjadi saksi sejak 23 September tahun lepas.

Najib, 67, berhadapan dengan empat pertuduhan menyalahguna kedudukannya untuk memperoleh gratifikasi berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Sementara itu, dalam kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB membabitkan Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan akan disambung pada 15 Jun.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahmad Akram.

"Pendakwaraya menerima satu emel daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas semalam memaklumkan bahawa perbicaraan itu ditetapkan pada 15-18 Jun, 29-30 Jun, 1-3 Julai dan 27-30 Julai," katanya.

Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mengarah pindaan ke atas Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Dia dituduh sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama jika sabit kesalahan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!