Tanam janin di sawah: Pasangan kekasih mengaku sembunyi kelahiran

Kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka di Ayer Keroh, hari ini.
Kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka di Ayer Keroh, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Sepasang kekasih muda bakal berdepan hukuman penjara dua tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran bayi mereka, minggu lalu.

Muhammad Siddiq Amran, 20, dan teman wanitanya, Nur Aryssa Khairul Nizam, 21, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Bagaimanapun, hukuman terhadap pasangan itu akan diputuskan pada 18 Februari ini bagi menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama menyembunyikan kelahiran dengan mengebumikan mayat seorang bayi (janin) yang dilahirkan Nur Aryssa dan mati sebelum dilahirkan kira-kira jam 8.30 pagi di kawasan sawah padi, Bukit Rambai, Batang Tiga di sini, Ahad lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan mereka berasal daripada keluarga yang sederhana.

Muhammad Siddiq berkata, dia baru mendapat pekerjaan dan perlu menjaga keluarga termasuk seorang adik kurang upaya (OKU) dan bapanya menghidap barah usus tahap tiga manakala Aryssa memberitahu dia tidak bekerja namun perlu menjaga empat adik-beradik yang masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing diikat jamin RM5,000 dan turut menetapkan 18 Februari ini sebutan semula kes bagi mendengar laporan sosial disediakan JKM serta keputusan hukuman bagi kedua-dua tertuduh.