X

Kindly register in order to view this article
!

Penggiat seni nak shooting tapi...

Gambar hiasan.(Gambar kecil Mat London)
A
A

KUALA LUMPUR - "Kami penggiat seni nak shooting minggu ini. Kami bersedia dan akur dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ada. Mohon kelulusan."

Begitulah status terbaharu Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dr Ahmad Ibrahim atau juga dikenali sebagai Mat London dalam akaun Facebook miliknya awal pagi ini.

"Penggambaran 'indoor' dengan jumlah kru kurang daripada lima orang patut dibenarkan. Produksi filem dan TV agak sukar nak kawal penggambaran berskala besar walaupun ada kawalan dan pemantauan rapi," katanya.

Status yang ditujukan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Majlis Keselamatan Negara itu susulan kelonggaran diberi kepada beberapa sektor industri untuk beroperasi semula berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat mulai 4 Mei lepas.

Ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp hari ini, Ahmad berkata, anggaran 50 syarikat penerbitan mengemukakan permohonan penggambaran filem, iklan dan program televisyen setiap bulan sebelum PKP dikuatkuasakan.

"Syarikat penerbitan kehilangan punca pendapatan kerana terpaksa menangguhkan kerja penerbitan berikutan penguatkuasaan PKP bermula 18 Mac lepas. Ini sudah tentu menjejaskan kehidupan para pekerja termasuk ahli FDAM yang kebanyakannya pengarah sambilan tanpa pendapatan tetap," katanya.

Ahmad berkata, FDAM dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia telah melancarkan tabung bantuan baru-baru ini bagi meringankan beban ahli.

"FDAM sentiasa menerima maklum balas dan keluhan ahli yang tidak dapat meneruskan tugas dan menjejaskan mata pencarian mereka. Malah ada antara mereka terpaksa membuat kerja lain seperti jualan makanan dalam talian untuk menampung hidup.

"Hampir 100 ahli kami yang kritikal telah menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM200 seorang," katanya.

FDAM yang ditubuhkan pada 1990 kini mempunyai kira-kira 1,200 ahli. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus