'Mowgli Malaysia' belajar puasa usia 7 tahun

Syukur terkenang pengalaman belajar puasa ketika berusia tujuh tahun. -Foto Facebook Syukor Khamis - Kampung Boy
Syukur terkenang pengalaman belajar puasa ketika berusia tujuh tahun. -Foto Facebook Syukor Khamis - Kampung Boy
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kehadiran Ramadan menjadi satu memori indah kepada ‘Mowgli Malaysia’ kerana pasti terkenangkan kisah lucu berpuasa ketika zaman kanak-kanaknya.

Mowgli atau nama sebenarnya Muhammad Syukur Khamis, 15, yang kini menetap Kampung Banggol Katong, Manir bersama keluarganya bersyukur kerana sudah dididik menjalani ibadah puasa seawal usia 7 tahun.

Bagaimanapun katanya, ketika itu banyak hari beliau tidak dapat menjalani puasa penuh dan hanya separuh hari.

"Waktu mula belajar puasa tu, bila waktu tengah hari perut mula berkeroncong menyanyi pelbagai 'lagu' meminta makanan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Muhammad Syukur berkata, dia akan berbuka pada waktu tengah hari jika tidak mampu meneruskan puasa dan hari puasa penuhnya 'boleh dibilang dengan jari'.

"Itupun saya rasa tidak sabar-sabar nak berbuka. Orang Terengganu kata 'dok dang beredang' (tak sabar-sabar) untuk menikmati juadah kegemaran ketika berbuka," kata murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin itu.

-Foto Facebook Syukor Khamis - Kampung Boy
-Foto Facebook Syukor Khamis - Kampung Boy

Menurutnya, setiap kali tiba Ramadan dia akan terkenang satu peristiwa lucu dan tidak boleh dilupakan berlaku ketika dirinya berusia 10 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Ketika itu, saya terlalu dahaga dan terus membuka peti ais lalu meminumnya untuk hilangkan dahaga.

"Mujurlah belum sempat habiskan air, saya tiba-tiba teringat yang saya berpuasa, terus saya keluarkan air dari mulut," katanya.

Muhammad Syukur berkata, dia berasa rugi jika puasanya terbatal kerana waktu itu beliau sedang berlatih untuk berpuasa penuh.

"Rasa rugi pula sekiranya terpaksa ganti puasa pada hari lain. Kalau boleh setiap tahun saya nak berpuasa penuh dan tak nak tinggal. Walaupun letih saya akan berehat seketika untuk menghilangkan penat.

"Sekarang ni saya menginjak usia remaja. Saya bersyukur dapat berpuasa penuh dan berterima kasih kepada ibu bapa yang melatih saya berpuasa sejak kecil," katanya.