Ibadat yang sempurna

A
A
A

KITA sudah memasuki separuh kedua bulan mulia Ramadan 1441. Bagus juga kita memikirkan tentang maksud beberapa ayat Quran supaya kita sentiasa berada dalam keadaan takwa.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadat kepada-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya ALLAH, Dialah Pemberi rezeki, Yang Empunya Kekuatan, Yang Maha Kukuh.” (Surah Adz-Dzāriyāt 51:56-58)

Kita fikirkan pula tentang maksud sebahagian daripada sebuah hadis yang sangat masyhur.

“Sehinggalah dia duduk di hadapan Nabi SAW lalu merapatkan kedua lututnya kepada lutut Baginda, lalu berkata: “Wahai Muhammad, ceritakan kepadaku tentang Islam.” Sabda Rasulullah SAW: “Islam adalah engkau bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang disembah melainkan ALLAH dan Muhammad adalah utusan ALLAH, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadan dan menunaikan haji jika mampu.” Kemudian dia berkata: “Engkau berkata benar”. Kami hairan, dia yang bertanya, dia pula yang membenarkan.

Kemudian dia bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang Iman”. Lalu Baginda bersabda: “Engkau beriman kepada ALLAH, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir yang baik atau yang buruk.” Kemudian dia berkata: “Engkau berkata benar.” Kemudian dia berkata lagi: “Beritahukan kepadaku tentang ihsan”. Lalu Baginda bersabda: “Ihsan adalah engkau beribadah kepada ALLAH seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya maka Dia melihat engkau”

Di atas ialah sebahagian hadis berkenaan Jibril AS yang menyerupai seorang lelaki untuk mengajar agama Islam kepada sahabat RA. Soalannya tentang Islam, iman dan ihsan semuanya dijawab secara tepat oleh Rasulullah SAW.

Keinginan untuk menyembah sesuatu dalam kehidupan adalah satu sifat tabii insan. ALLAH SWT sebagai pencipta semua kejadian mahu kesemua kita dalam alam ciptaan-Nya menuruti undang-undang yang ditetapkan-Nya.

Ihsan

Artikel Berkaitan:

Bagi orang yang sempurna imannya, konsep ibadat merangkumi ibadat ritual dan ibadat umum termasuk pekerjaan untuk menyeru kemakrufan, menolak kemungkaran dan mencari rezeki seharian. Makhluk lain yang dicipta Tuhan pula menyembah dan beribadat kepada ALLAH SWT dengan cara masing-masing.

Kegalauan dalam hidup insan serta pemusnahan alam yang dilakukannya adalah hasil daripada peribadatan yang tidak sempurna. Manusia mungkin dilihat sebagai melakukan ritual ibadah secara zahir, tetapi jiwanya rosak dan gersang. Lihat saja bagaimana orang yang kelihatan bersembahyang tetapi tidak segan silu berbohong dan pecah amanah.

Mustahil bagi orang yang tidak menjaga tatasusila pekerjaan dapat berprestasi dengan baik serta menyuburkan jiwanya hanya dengan memuja Tuhan secara zahir. Inilah kepura-puraan dalam ubudiah atau pengabdian yang sarat dengan kemunafikan.

Pelaksanaan ibadat seorang individu seolah-olah ia dilihat oleh ALLAH SWT adalah satu kesedaran dalam diri penyembah Tuhan yang tinggi keihsanannya. Maqam ihsan inilah yang tertinggi dalam kehidupan jika dibandingkan dengan penghayatan Rukun Islam dan Rukun Iman.

Tanpa kedua-dua rukun asas Islam dan Iman itu, maqam ihsan tidak akan tercapai. Tanpa menuruti syariah Muhammad SAW, ibadat yang sempurna tidak akan tercapai.

Si hamba yang melaksanakan apa saja kerja dengan kesedaran ia dilihat Tuhan Maha Esa yang mencipta sekalian alam dan kejadian adalah hamba yang hidup dalam jagaan Tuhannya. Jika hamba membuat kesilapan kerana ia adalah insan yang lemah, ia cepat dipimpin kembali oleh Tuhan, ALLAH ar-Rasyid.

Seorang muhsin yang berada di maqam ihsan ialah orang yang menjadi manusia yang amat rapat dengan Tuhannya. Bila dibangkitkan di akhirat nanti semuanya akan terpaksa berhadapan dengan Tuhan dan rekod kehidupan mereka akan dibuka sepenuhnya. Amat menggerunkan.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis sosial