BAM, terima kasih bagi peluang!

Peng Soon (kiri) Liu Ying memburu impian beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.
Peng Soon (kiri) Liu Ying memburu impian beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.
A
A
A

Barisan pemain profesional negara menyambut baik pelawaan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria kepada mereka untuk menjalani latihan di Akademi Badmiton Malaysia (ABM), Bukit Kiara mulai 1 Jun depan.

Jaguh beregu campuran negara, Chan Peng Soon berkata, tawaran itu merupakan satu berita gembira bagi pemain profesional sepertinya kerana dapat kembali berlatih bersama skuad kebangsaan yang berada di bawah naungan BAM.

Namun, Peng Soon berkata, dia dan rakan-rakannya yang lain perlu menunggu keputusan dan arahan daripada Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choon Han berhubung jadual latihan yang perlu diiikuti mereka di akademi berkenaan.

“Terima kasih BAM kerana bagi peluang kami berlatih. Saya rasa gembira dengan tawaran ini kerana sudah agak lama tidak berlatih dengan rakan-rakan kerana sebelum ini, saya hanya melakukan latihan sendiri di rumah. Ia memang jauh berbeza dengan latihan bersama rakan-rakan sepasukan.

“Bagaimanapun, kami juga perlu tahu mengenai program latihan dan juga jadual yang perlu diikuti di ABM nanti. Jadi kami akan tunggu arahan selanjutnya daripada jurulatih, Wong Choon Hann,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Mohamad Norza memaklumkan, pemain negara dijangka kembali menjalani latihan di ABM secara berperingkat bermula dengan pemain di bawah program Road to Tokyo (RTT) pada 1 Jun ini, namun tertakluk kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau juga memutuskan untuk mengundang pemain profesional yang berkemungkinan besar layak ke Olimpik Tokyo untuk berlatih dua kali seminggu di ABM bersama-sama dengan skuad kebangsaan.

Antara pemain profesional negara yang dilihat bakal menempah tiket ke Olimpik Tokyo ialah pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki).

Artikel Berkaitan: