Kawasan lumba kuda menjadi CRF pekerja asing

Kelab Lumba Kuda yang dijadikan antara kawasan pemulihan pekerja asing yang positif Covid-19. -Foto Sumber Internet
Kelab Lumba Kuda yang dijadikan antara kawasan pemulihan pekerja asing yang positif Covid-19. -Foto Sumber Internet
A
A
A

SINGAPURA- Kawasan tertentu di gelanggang Lumba Kuda Singapura di Kranji akan diubah buat sementara waktu menjadi Kemudahan Pemulihan Komuniti (CRF) bagi pekerja asing yang sedang pulih daripada jangkitan koronavirus (Covid-19).

Kawasan itu termasuk tempat letak kereta bertingkat dan tempat letak kereta B di gelanggang lumba kuda itu dan kawasan berbumbung di Pusat Kelab Lumba Kuda Singapura.

Kawasan berkenaan akan ditetapkan sebagai zon larangan dan orang awam dilarang masuk, kata Kelab Lumba Kuda Singapura dalam laman webnya hari ini.

Kelab itu berkata, pembinaan dan kerja ubah suai CRF di dua kawasan itu dijadual siap pada akhir Mei ini.

“Kerja-kerja dijalankan berdasarkan protokol dan prosedur ditetapkan oleh agensi kerajaan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja dan kemudahan berkenaan,” katanya.

CRF adalah sebahagian strategi perubatan Singapura untuk menugaskan sumber perubatan dengan sebaik mungkin dan menghalang sistem penjagaan kesihatan daripada terbeban dengan teruk.

Ia akan membolehkan pesakit kekal sihat dan stabil dari segi klinikal untuk pulih daripada Covid-19.

Lembaga Tote dan Kelab Lumba Kuda Singapura bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk kerja ubah suai itu.

Artikel Berkaitan:

Selaras dengan langkah ketat republik untuk memutuskan rantaian wabak itu, kelab itu mengumumkan semua mesyuarat mengenai lumba kuda di Singapura akan ditangguhkan sehingga 1 Jun depan.

Jumlah jangkitan Covid-19 di Singapura kini sebanyak 23, 822 kes, dengan kira-kira 90 peratus kes itu didominasi pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja. - Bernama