Golongan berusia, pekerja swasta sasaran Macau Scam

Harjinder (kiri) menyerahan dokumen serah terima tugas Ketua Jabatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor kepada Muhamad disaksikan Mazlan (tengah).
Harjinder (kiri) menyerahan dokumen serah terima tugas Ketua Jabatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor kepada Muhamad disaksikan Mazlan (tengah).
A
A
A

SHAH ALAM - Individu berusia 51 tahun dan ke atas serta pekerja swasta merupakan kumpulan yang paling ramai menjadi mangsa sindiket Macau Scam di Selangor sepanjang tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Harjinder Kaur Gurdial Sigh berkata, golongan berusia yang menjadi mangsa melibatkan 139 individu Melayu diikuti 113 individu Cina, India (32) dan lain-lain bangsa (4).

Menurutnya, pekerja dalam sektor swasta juga mempunyai statistik tertinggi menjadi mangsa jenayah ini iaitu seramai 561 orang melibatkan kerugian RM23.4juta.

“Kebiasaannya ahli sindiket akan menyamar sebagai pegawai agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam, Imigresen, Mahkamah serta pihak bank seperti Bank Negara termasuklah bank-bank tempatan dan antarabangsa.

“Tujuannya untuk menimbulkan kegusaran mangsa dan memudahkan mereka untuk menipu dan sindiket ini juga dikenalpasti akan menggunakan akaun bank milik rakyat tempatan iaitu keldai akaun untuk mendapatkan wang daripada mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberi ucapan dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Harjinder berkata, jenayah komersil sindiket penipuan pinjaman tidak wujud (PTW) juga mencatatkan statistik yang tinggi di negeri ini.

“Sebanyak 696 kes dilaporkan bagi tahun 2018 dengan kerugian sebanyak RM7.67 juta. Kebanyakan mangsa adalah pekerja sektor swasta.

Artikel Berkaitan:

“Manakala kes melibatkan parcel scam, love scam atau penipuan wasiat mencatatkan 331 kes dengan jumlah kerugian RM21.3 juga. Sindiket ini mensasarkan golongan wanita berusia 30 tahun dan ke atas,” katanya.

Katanya, dalam usaha membanteras dan memerangi jenayah komersil daripada terus berleluasa masyarakat Malaysia secara umumnya hendaklah memainkan peranan penting dalam membendungnya dari peringkat awal lagi.

“Orang ramai dalam apa kumpulan umur dan pekerjaan sekalipun dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan penipuan seperti ini.

“Elakkan daripada mendedahkan maklumat peribadi, menerima tawaran yang menarik di internet, membalas email yang mencurigakan dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Harjinder menyempurnakan majlis serah terima tugas Ketua JSJK kepada Timbalannya, Superintendan Muhamad Tarmizi Awang yang akan memangku jawatan itu sehingga Februari depan.

Majlis disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.

Harjinder akan bersara wajib Isnin depan selepas berkhidmat selama hampir 41 tahun dalam PDRM. Sepanjang tempoh itu, beliau menjawat pelbagai jawatan penting PDRM antaranya Cawangan Khas Bukit Aman, Ketua Balai Ibu Pejabat Polis Daerah Klang dan Ketua Unit Jenayah Perbankan, JSJK Bukit Aman.