Peralihan kuasa Kedah hanya spekulasi: Amanah

Phahrolrazi ketika ditemui pemberita di hadapan Dewan Seri Mentaloon di sini hari ini.
Phahrolrazi ketika ditemui pemberita di hadapan Dewan Seri Mentaloon di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Desas-desus beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan melompat parti hingga membawa peralihan kuasa yang akan berlaku di Kedah hanya spekulasi semata-mata.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, sehingga kini belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan dari pihak berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya beranggapan perkara itu hanya spekulasi sahaja.

"Sekarang, PH campur Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), saya diminta mewakili PH bertemu dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz hari ini selaku Pengerusi Bersatu PH untuk membincangkan kedudukan semasa termasuk isu peralihan kuasa.

"Bagaimanapun, saya anggap ia spekulasi kerana ADUN terbabit tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dan kerajaan masih berfungsi seperti biasa," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Dewan Seri Mentaloon, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas belum putuskan siapa calon MB Kedah

Katanya, beliau tidak mengetahui kemungkinan ada ADUN PH dan Bersatu akan melompat parti hingga mengakibatkan pentadbiran Kedah bertukar, malah tiada kenyataan rasmi dari mereka setakat ini.

Dalam perkembangan sama, katanya, kemungkinan Pas Kedah bertemu dengan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah juga di luar pengetahuan dirinya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Sinar Harian melaporkan pimpinan Pas Kedah melibatkan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengadakan pertemuan di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Pas Kedah adakan pertemuan dengan Samsuri, Takiyuddin

Turut kelihatan, dua ADUN dari UMNO iaitu ADUN Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor dan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dalam pertemuan tersebut.

Pertemuan turut dihadiri Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pertemuan itu didakwa bagaikan menguatkan kenyataan Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah, Ahmad Yahaya yang menyatakan keyakinan parti itu untuk mengetuai pentadbiran Kedah daripada kerajaan PH campur Bersatu pada Rabu lepas.