Perkeso bantu bekas jurugambar Utusan Malaysia sakit kronik

Norhaspida menguruskan suaminya yang kini terlantar.
Norhaspida menguruskan suaminya yang kini terlantar.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Nasib menimpa bekas jurugambar Utusan Malaysia, Azlan Bahrum, 36, yang menderita sakit gout kronik dan buah pinggang mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Azlan yang kini terlantar kerana sukar bergerak dan menguruskan diri kerana sendinya yang makin membengkak, mendapat bantuan faedah segera daripada Perkeso beserta bantuan tilam angin dan pampers.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, berdasarkan penilaian dibuat pihaknya, bapa kepada tiga anak itu memerlukan sesi pemulihan terlebih dahulu untuk memastikan fungsi badannya bertambah baik dan aktiviti harian dapat dilakukan selepas ini.

Farihah (kanan) menyerahkan bantuan pampers kepada isteri Azlan, Norhaspida.
Farihah (kanan) menyerahkan bantuan pampers kepada isteri Azlan, Norhaspida.

"Pihak kami mendapat maklumat tentang penderitaan dialaminya daripada pengamal media dan kita lihat Azlan hanya mampu terbaring kerana kesihatannya semakin merosot.

"Bagi membolehkan beliau kembali sihat dan mampu menguruskan diri, kita berpendapat beliau perlu lalui proses pemulihan.

"Walaupun ia akan mengambil masa, kita ada pegawai pemulihan yang akan membantu dan melihat balik keperluannya bagi membolehkannya beliau kembali sihat dan masuk semula ke pasaran kerja.

"Selain itu, kita akan usahakan pencen ilat. Sekiranya ia memenuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, beliau layak untuk mendapatkan faedah pencen ilat untuk meneruskan kesinambungan hidup memandangkan beliau kini tidak mampu bekerja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Farihah bersama pegawainya bertanyakan maklumat untuk proses bantuan.
Farihah bersama pegawainya bertanyakan maklumat untuk proses bantuan.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi kediaman Azlan di sini, hari ini bersama Skuad Perkeso Prihatin bagi menyampaikan bantuan tilam angin, pampers dan bantuan faedah segera.

Sementara itu, isteri Azlan, Norhaspida Yatim, 34, yang juga wartawan Sinar Harian menzahirkan rasa kesyukuran di atas keprihatinan Perkeso yang segera memberikan bantuan kepada keluarganya.

"Terima kasih kepada Perkeso yang begitu prihatin dan mempermudahkan urusan kami. Saya pada mulanya buntu kerana terlalu banyak komitmen yang perlu diberikan memandangkan saya bekerja.

"Mujurlah rakan-rakan banyak membantu dalam menguruskan Azlan kerana kudrat saya tidak kuat untuk mengangkatnya, ada juga yang sanggup menjaga anak-anak kami ketika saya terpaksa menjaganya di hospital.

"Paling membuatkan saya terharu, wakil-wakil rakyat juga ada yang datang melawat dan menghulurkan sumbangan. Sedikit sebanyak ia meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban mereka sekeluarga boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 114076071284 atas nama Azlan Bahrum atau Norhaspida Yatim (156057287629).