Pesakit Covid-19 guna mesin ventilator menurun

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pesakit koronavirus (Covid-19) yang memerlukan bantuan pernafasan dengan menggunakan mesin ventilator kian menurun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 20 pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), hanya tujuh yang memerlukan mesin berkenaan.

"Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 88 kes telah pulih dan dibenar pulang hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif 5,118 kes," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat 70 kes baharu yang telah dilaporkan dari daripada jumlah itu, sebanyak 31 kes melibatkan bukan warganegara.

Beliau berkata, daripada kes baharu tersebut, terdapat 13 kes import dan 57 kes penularan tempatan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 6,726 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,504 kes," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan merekodkan pertambahan satu kematian akibat wabak itu.

"Dukacita dimaklumkan terdapat satu kematian melibatkan lelaki berusia 63 tahun dan mempunyai penyakit kencing manis serta barah hati.

Artikel Berkaitan:

"Dia dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 8 Mei dan meninggalkan dunia jam 5.15 pagi semalam," katanya.

Setakat ini, jumlah keseluruhan kematian melibatkan Covid-19 adalah sebanyak 109 kes bersamaan dengan 1.62 peratus daripada keseluruhan kes.

Mengulas mengenai kluster yang masih aktif, katanya terdapat empat daripadanya mencatatkan kes baharu positif Covid-19.

"Kluster Pasar Chow Kit Kuala Lumpur merekodkan 29 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan 88 kes dan kluster Pasentren mencatatkan pertambahan lapan kes manakala bagi kluster Pengawal Keselamatan Cheras dan kluster Sendayan masing-masing merekodkan satu kes baharu," katanya.

Menurutnya, kluster Perhimpunan Sri Petaling tidak merekodkan sebarang pertambahan kes.

"Kluster ini kekal dengan 2,345 kes positif daripada 37,081 bilangan sampel yang diambil," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengumumkan kluster Tabligh Pakistan yang melibatkan enam kes positif di Tawau Sabah tamat sepenuhnya.