Pas Kelantan sokong Muhyiddin

Che Abdullah (kiri) menerima cenderamata daripada Nik Roslan ketika sesi lawatan beliau hari ini.
Che Abdullah (kiri) menerima cenderamata daripada Nik Roslan ketika sesi lawatan beliau hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Semua ahli Parlimen Pas termasuk di Kelantan menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri meskipun undi tidak percaya dibuat.

Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, semua ahli Parlimen Pas telah menyatakan kesetiaan dan sokongan kepada Muhyiddin.

“Sokongan Pas 'bulat' (penuh) kepada Perdana Menteri, dari Kelantan pun 'bulat'.

"Kami akan sokong dan memastikan kestabilan kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kalau undi tidak percaya itu berlaku dalam Parlimen sekalipun, saya yakin kerajaan ataupun Muhyiddin sendiri mempunyai undi yang cukup untuk kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya kepada media hari ini.

Beliau ditemui ketika mengadakan lawatan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Puteri Saadong di Binjai.

Terdahulu, beliau turut mengadakan pertemuan bersama pengurusan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Lundang.

Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat menempelak tindakan beberapa pihak yang sengaja mengeruhkan keadaan ketika kerajaan pimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu sedang bekerja keras mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) dan kesan pandemik tersebut.

Menurutnya, pemimpin politik sepatutnya meletakkan keselamatan dan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Lebih baik tumpuan diberikan ke arah menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi rakyat iaitu wabak Covid-19, perkara berkaitan dengan ekonomi dan kewangan,” katanya.

Dalam masa sama, Che Abdullah turut mengkritik tindakan melakukan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri memandangkan pelantikan Muhyiddin sudah mendapat majoriti dan juga perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Che Abdullah menyifatkan pimpinan politik yang sengaja memainkan isu undi tidak percaya dan menyentuh sentimen seumpamanya itu sebenarnya lebih kepada tidak puas hati dan mengagung-agungkan kepentingan diri melebihi keutamaan rakyat.

“Jadi sepatutnya proses yang telah berlaku dan berlandaskan Perlembagaan itu dihormati oleh semua pihak dan sepatutnya mengurangkan kepentingan diri serta ketepikan politik di musim ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun yakin isu dimainkan itu tidak akan berjaya berikutan rakyat bijak menilai kerja keras Muhyiddin dalam memastikan keadaan pulih seperti sedia ada selain yakin pemimpin politik yang mengundi akan memikirkan kepentingan rakyat untuk terus bersama dengan kerajaan.