Lelaki diberkas tanam pokok ganja di rumah

Polis menemui pokok ganja yang dipercayai ditanam suspek sejak dua bulan lepas.
Polis menemui pokok ganja yang dipercayai ditanam suspek sejak dua bulan lepas.
A
A
A

GOMBAK - Seorang lelaki diangkut bersama daun ganja kering dan pokoknya sekali ketika ditahan di sebuah rumah di Taman Sri Gombak, di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditangkap kira-kira jam 10.30 malam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

"Polis menemui satu pokok ganja berketinggian kira-kira 50 sentimeter. Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai menanam pokok ganja terbabit sejak dua bulan lepas menggunakan benih yang diperoleh daripada saki-baki ganja dimilikinya," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Arifai, pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik lutsinar berisi ceraian daun kering disyaki dadah jenis ganja dan pihaknya juga merampas botol plastik yang diubah suai menjadi peralatan menghisap dadah.

"Ujian air kencing mengesahkan suspek positif ganja. Dia direman lima hari untuk siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," kata beliau.

Artikel Berkaitan: