Geng curi kabel ditahan, dua lagi dicari

Ramli (dua, kanan) menunjukkan kabel yang dirampas.
Ramli (dua, kanan) menunjukkan kabel yang dirampas.
A
A
A

TAMPIN - Penahanan lima lelaki selepas dilihat mencurigakan kerana meronda bersama pacuan empat roda di sekitar Gemas pada Selasa lalu membawa kepada penemuan kabel syarikat telekomunikasi yang disyaki dicuri.

Ketua Polis daerah Tampin, Superintenden Ramli Kasa berkata, penahanan lima suspek itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Gemas yang melakukan rondaan jam 12.30 tengah malam.

“Polis menahan kenderaan yang dinaiki suspek seterusnya menjumpai beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk mencuri kabel. Lanjutan penahan itu, polis ke kediaman suspek di Felda Palong.

“Hasil serbuan, polis menjumpai kabel syarikat telekomunikasi dicuri yang melibatkan nilai rampasan lebih kurang RM10,000,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin hari ini.

Ramli berkata, suspek yang berusia antara 16 dan 45 tahun ini ditahan reman selama tiga hari bermula 15 Januari hingga semalam, bagaimana permohonan sambung reman dibuat bagi melengkapkan siasatan kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek menjadikan waktu tengah malam bermula 12.30 hingga 3 pagi untuk mencuri kabel tersebut sebelum dibawa ke sebuah ladang getah untuk diproses seterusnya menjual besi tembaga kepada kedai barangan terpakai.

“Ketika ini kita sedang mengesan kedai tersebut yang berada di Buluh Kasap, Segamat, Johor dan pemiliknya bakal dikenakan tindakan menerusi Seksyen 414 kerana urus barang curi dan Seksyen 411 membeli barang curi,” katanya.

Sementara itu , Ramli berkata, dua daripada suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ganja menerusi ujian urin yang akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

“Polis ketika ini juga sedang mengesan dua lagi rakan suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini iaitu Rizuan Mohammad Sharife, 44, yang beralamat terakhir di Kampung Sri Perantau, Pelabuhan Klang, Selangor dan Mohd Suhaili Basri, 37, beralamat terakhir di Felda Palong 1.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penama diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu melengkapkan siasatan polis ,” katanya.