PKPD Jalan Othman: Bekalan makanan dijamin mencukupi

Kawasan sekitar Pasar Jalan Othman dikenakan PKPD susulan beberapa kes positif Covid-19 sebelum ini.
Kawasan sekitar Pasar Jalan Othman dikenakan PKPD susulan beberapa kes positif Covid-19 sebelum ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Kerajaan Selangor dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memastikan segala keperluan penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar kawasan Pasar Jalan Othman mencukupi.

Pegawai Daerah Petaling, Johary Anuar berkata, semalam, pihak terlibat juga telah membantu sebanyak 332 keluarga warga tempatan dan 57 warga asing di sini menerusi pemberian bekalan keperluan makanan.

"Kita juga jangkakan akan ada pembekalan barangan basah kepada penduduk terlibat pada setiap hari sepanjang PKPD ini," katanya kepada pemberita di Jalan Othman di sini hari ini.

Mengulas lanjut Johary berkata, tujuan utama PKPD bagi membolehkan saringan dilakukan ke atas warga asing di kawasan terlibat berikutan seramai tujuh peratus golongan tersebut di kawasan berkenaan dikesan positif koronavirus (Covid-19) sebelum ini.

"Kita khuatir ia boleh jangkiti rakyat tempatan pula dan disebabkan itu penguatkuasaan PKPD ini dibuat," katanya.

Sementara itu, rata-rata penduduk yang terlibat dengan PKPD di sekitar kawasan Pasar Jalan Othman dilihat mematuhi segala arahan ditetapkan pihak berkuasa.

Kawasan di sekitar Pasar Jalan Othman dikenakan penguatkuasaan PKPD.
Kawasan di sekitar Pasar Jalan Othman dikenakan penguatkuasaan PKPD.

Menerusi tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan sekitar jam 11.30 pagi tadi mendapati pihak berkuasa juga turut melakukan penguatkuasaan dan pemantauan sekitar kawasan tersebut, selain pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut dilihat memasuki kawasan penguatkuasaan PKPD di sini bagi melakukan saringan Covid-19 ke atas penduduk.

Artikel Berkaitan:

Operasi premis-premis yang berada di luar kawasan penguatkuasaan PKPD juga dilihat masih berjalan seperti biasa dengan mengikut garis panduan ditetapkan KKM.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman mengenai pelaksanaan PKPD di Jalan Othman itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 23 Mei.

Pelaksanaan PKPD di Jalan Othman membabitkan tiga zon iaitu Zon A​ melibatkan Jalan Penchala, Jalan 4/33, Jalan 4/37, Jalan 4/39, Jalan 4/41, Jalan 4/44, Jalan Terus 4/42, Jalan 4/43, Jalan 4/46 dan Jalan Othman 4/4D.

Zon B​ melibatkan Jalan 2/29, ​Jalan 2/29A, Jalan 2/27, Jalan 2/32, Jalan 2/25, Jalan 2/26, Jalan 2/34, Jalan 2/34A, Jalan 2/23, Jalan Dispensary 2/38 dan​​ Jalan Pasar 1/21.

Zon C​ melibatkan Jalan Selangor, Lorong 3/57D,​ Lorong 3/57C, Jalan RIDA 3/56 dan Jalan Sentosa 3/57.