X

Kindly register in order to view this article
!

SOP ketat di mahkamah bermula Rabu ini

Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A

PUTRAJAYA - Badan Kehakiman Malaysia akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ketat termasuk wajib memakai topeng muka sepanjang masa dan mengambil suhu badan apabila perbicaraan terbuka di mahkamah diadakan secara berperingkat bermula Rabu ini.

Menurut kenyataan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini, hanya individu dengan suhu badan 38 darjah celsius dan ke bawah akan dibenarkan memasuki premis mahkamah.

Pihak berkaitan dan orang ramai juga dinasihati untuk tidak hadir ke mahkamah jika mereka tidak sihat.

"Ini sejajar dengan langkah pencegahan yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19, menurut kenyataan itu.

Jelasnya, mahkamah juga tidak akan menyediakan penutup mulut dan hidung kepada mereka yang hadir ke mahkamah.

Selain itu, menurut kenyataan berkenaan, tempat duduk dan ruang di mahkamah juga adalah terhad dan semua pihak diminta untuk duduk di dalam kawasan yang ditanda di tempat duduk untuk menjaga penjarakan sosial.

Individu yang menghadiri mahkamah juga diminta memuat turun dan melengkapkan borang pelawat mahkamah daripada laman web rasmi kehakiman untuk tujuan jejak sosial. Borang pelawat juga boleh didapati di premis mahkamah.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa setiap mahkamah di seluruh Malaysia hanya mempunyai satu pintu masuk ke premis masing-masing dan hanya mereka yang mempunyai urusan dengan mahkamah dibenarkan memasuki premis tersebut.

Orang ramai juga diminta untuk melaksanakan urusan mereka di kaunter atau di mahkamah yang ditentukan dengan segera tanpa melengahkan masa.

Bagi kes jenayah, hanya seorang anggota keluarga dibenarkan memasuki premis mahkamah dan hanya seorang individu yang dituduh dibenarkan berada di dalam bilik bicara mahkamah bagi mendengar prosiding kes mereka.

Saksi atau pihak yang terlibat dalam prosiding mahkamah hanya dibenarkan masuk ke premis mahkamah 30 minit sebelum perbicaraan kes bermula dan saksi juga diminta untuk berhubung dengan pegawai polis atau peguam masing-masing berhubung kes mereka sebelum menghadiri prosiding atau urusan lain di mahkamah.

Semua pihak diminta meninggalkan premis mahkamah sebaik sahaja urusan mereka selesai.

Badan kehakiman juga meminta kerjasama semua pihak untuk menjaga kebersihan premis mahkamah.

"Semua pihak diminta mematuhi semua arahan yang berkaitan dengan COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai SOP kehakiman, orang ramai boleh melayari laman web rasmi kehakiman di www.kehakiman.gov.my.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!