Elak pergerakan besar-besaran

Ab Ghani - Foto MFL
Ab Ghani - Foto MFL
A
A
A

KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membatalkan saingan Piala Cabaran dan Piala FA musim ini kecuali Piala Malaysia bertujuan mengelakkan berlakunya pergerakan besar-besaran dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya bimbang sekiranya kedua-dua kejuaraan itu dianjurkan akan berlaku pergerakan besar-besaran yang tidak dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Malah menurut Ab Ghani, pergerakan besar-besaran seperti itu sudah pastinya tidak mendapat kebenaran kerajaan terutamanya pada ketika usaha berterusan giat dilakukan dalam memutuskan pandemik Covid-19 di negara ini.

“Pembatalan piala-piala tertentu dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 sebenarnya adalah hasil perbincangan serta perancangan teliti oleh pihak MFL.

“Malah, sebelum keputusan dibuat, kita telah meneliti segala perkara termasuk mengambil semua sudut pandangan pelbagai pihak.

“Akhirnya, kita membuat keputusan ada piala yang akan kita anjurkan iaitu Piala Malaysia manakala Piala Cabaran dan Piala FA tidak dapat kita anjurkan. Lagi pun, ini bukan masalah biasa. Ini masalah Covid-19. Virus yang cukup bahaya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ab Ghani berkata demikian bagi mengulas permintaan beberapa pasukan Liga-M yang mahu supaya saingan Piala Cabaran terus dipertandingkan musim ini.

Sementara itu, Ab Ghani berkata, MFL akan mengemukakan perancangan baharu bagi Kalendar Baharu Bola Sepak Malaysia kepada kerajaan pada Jun depan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tidak ada sebarang perubahan pada perancangan berkenaan kecuali jika ada kebenaran untuk perancangan berkenaan.

“Jun nanti, kita akan buat permohonan baharu kepada kerajaan untuk teruskan saingan liga.

“Tidak ada apa-apa perubahan setakat ini cuma berdasarkan ucapan Perdana Menteri hari ini (semalam) PKPB akan dilanjutkan sehingga Jun dan ia bersesuaian dengan perancangan kita,” katanya.

Mengulas arahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) agar Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyelesaikan isu tunggakan gaji terhadap bekas pemain importnya Casio Francisco De Jesus yang berjumlah RM629,620.28, Ab Ghani berkata, MFL tidak dapat membantu dari segi kewangan.

“Selaku badan pentadbir Liga M, mungkin MFL dapat membantu dari segi lain, tetapi ia bergantung juga kepada kerajaan. Lagi pun, sebelum ini kita dah bantu berikan tajaan kepada pasukan pada awal musim.

“Selain itu harap sedia maklum bahawa kita pun masih baharu lagi dan Liga-M bukanlah liga yang kaya raya," katanya.