UMNO perlu kerja keras, tidak ulang kesilapan lalu

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - UMNO perlu bekerja keras supaya tidak mengulangi kesilapan lalu selain berazam membentuk muafakat, iltizam baharu dan membina kekuatan sendiri.

Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai pencapaian yang membanggakan sudah dilakukan termasuk mengangkat martabat bangsa sehingga dihormati di serata dunia selama lebih tujuh dekad usia parti itu.

"UMNO menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-74 hari ini dan mengingatkan kita tentang sejarah panjang perjuangan parti keramat orang Melayu yang sentiasa mengabdikan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

"Sejak penubuhannya, UMNO telah mengemudi bangsanya untuk bangkit menentang penjajah sehinggalah Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan. Kemudiaannya, UMNO terus mengorak langkah mencipta perubahan dan kemodenan untuk tanah air tercinta ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-74 yang dimuatnaik melalui Facebook rasminya semalam.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, dua tahun lalu UMNO ditolak rakyat sehingga kehilangan mandat di peringkat Persekutuan.

"Ternyata bukan semua daripada kita berjiwa kental untuk menghadapi ujian apabila ramai yang hilang arah sehingga ada yang memilih untuk keluar meninggalkan parti keramat ini," katanya.

Menurut, pemimpin dan ahli UMNO yang setia terus kekal kerana mereka benar-benar memahami susur galur perjuangan parti.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kesetiaan kita kepada wadah perjuangan ini, akhirnya kita kembali bangkit memenangi hati rakyat melalui kemenangan bergaya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands tahun lalu.

"Ia merupakan kemenangan pertama selepas PRU-14 yang dicetus hasil kerjasama erat antara UMNO dan Pas melalui agenda Perpaduan ummah yang kemudiannya diterjemah menjadi Muafakat Nasional dan terbukti mendapat tempat di hati rakyat," katanya.

Menurutnya, pandemik penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang menimpa negara ketika ini menjadi bukti penting UMNO sebuah parti paling konsisten dan membantu rakyat yang ditimpa kesusahan.

"Gerak kerja yang kita lakukan untuk rakyat ketika pandemik ini membuktikan UMNO sentiasa ada di saat rakyat memerlukan.

" Itulah yang seharusnya kita lakukan kerana UMNO itu wujud untuk rakyat," katanya.