Kerajaan dijangka umum keputusan solat di masjid minggu ini

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

TANAH MERAH - Selepas mengadakan perbincangan dan muzakarah, kerajaan Persekutuan dijangka mengumumkan keputusan rasmi mengenai pembukaan semula masjid pada minggu ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan sudah berbincang mengenai kaedah terbaik untuk membenarkan umat Islam di negara ini kembali mengimarahkan masjid dan surau.

"Perbincangan mengenai tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) solat di masjid sudah dilakukan Jumaat lalu menerusi Muzakarah Hal Ehwal Islam.

"Kita mengambil kira pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ada SOP yang perlu dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Perlis benar solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei

"Perkara ini akan dibawa Kabinet sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja. Dalam seminggu ini mungkin akan ada pengumuman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir menyampaikan bantuan barangan asas kepada Exco Majlis Pimpinan Negeri Rakan Siswa Yadim, Muhamad Haniff Fitri Muhd Sawadi melalui Program Musa’adah Covid-19 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Panau yang juga Timbalan Speaker Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood

Keperluan asas tersebut akan diagihkan kepada golongan asnaf yang memerlukan di kawasan Bukit Tebu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan Perlis memberi kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini sebagai permulaan bagi membolehkan 'Syiar Jumaat' dihidupkan kembali di negeri itu.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan menjelaskan, keputusan berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, antara peraturan berkenaan ialah jumlah jemaah termasuk imam/khatib adalah tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang daripada tiga orang.

Masjid tidak dibuka kepada awam sebaliknya mereka yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat hanya membabitkan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid sahaja.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan terbaharu pengurusan haji tahun ini, Marzuk berkata, pihaknya telah melakukan persiapan sebaik mungkin dan makluman awal juga telah dibuat kepada mereka yang layak.

"Kita akan maklumkan apa sahaja keputusan dan perintah terkini daripada kerajaan Arab Saudi," katanya.