Inspektor polis parah digilis kereta, motosikal hangus

Kemalangan menyebabkan mangsa parah digilis kenderaan lain selepas terbabas. - Foto ihsan JBPM
Kemalangan menyebabkan mangsa parah digilis kenderaan lain selepas terbabas. - Foto ihsan JBPM
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang inspektor polis parah selepas digilis dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dalam kejadian di Kilometer 104 Lebuhraya Utara Selatan kira-kira jam 10.10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal Kawasaki 650 terbabas sebelum terjatuh dan sebuah kereta Honda City menggilis kaki mangsa.

Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang mengalami patah lutut kanan dan luka di bahagian perut akibat bergesel atas permukaan jalan.

"Ketika itu kereta Honda City berada di belakang mangsa dan cuba mengelak ke kanan tetapi terlanggar pagar besi pembahagi tengah jalan sebelum menggilis kaki mangsa.

"Pada masa sama sebuah kereta Perodua Alza yang berada di belakang Honda City juga cuba mengelak tetapi gagal lalu terlanggar motosikal mangsa.

"Akibatnya, motosikal itu tercampak dan terbakar," katanya.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya memadam kebakaran motosikal mangsa. - Foto ihsan JBPM
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya memadam kebakaran motosikal mangsa. - Foto ihsan JBPM

Adzli berkata, kejadian berlaku ketika hujan menyebabkan motosikal mangsa dalam keadaan laju dan hilang kawalan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa di bawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut manakala mangsa lain tidak cedera," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.