Surirumah terpedaya Love Scam rugi RM280,000

No Image Caption
A
A
A

BALIK PULAU - Seorang surirumah kerugian RM280,000 apabila diperdaya sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki daripada London melalui laman sosial sejak Ogos tahun lalu.

Dalam tempoh perkenalan, lelaki berkenaan memberitahu mangsa berusia 56 tahun bahawa dia akan ke Singapura untuk urusan perniagaan sebelum mendakwa kapal dinaiki rosak dan diselamatkan penyelamat dari Miri, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, A A Anbalagan berkata, lelaki itu mereka cerita dia ditahan Jabatan Imigresen di Miri kerana membawa wang dan ketulan emas melebihi had yang dibenarkan sebelum meminta pertolongan daripada wanita itu untuk meminjamkan wang kepadanya sebanyak AS$3,000.

“Kerana simpati dengan nasib lelaki berkenaan, mangsa melakukan beberapa transaksi pemindahan wang kepadanya melalui sebuah bank tempatan.

“Mengikut laporan mangsa dia membuat pemindahan sebanyak RM280,000 kepada lelaki terbabit namun rasa curiga dengan lelaki berkenaan. Selepas menyedari ditipu lelaki terbabit wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis semalam,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Walaupun banyak kes penipuan seperti ini dilaporkan sebelum ini namun masih ada ramai lagi orang yang terpedaya dengan helah yang digunakan sindiket Love Scam.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan mana-mana pihak yang tidak dikenali dan sentiasa berhati-hati dengan penyamaran pihak tertentu yang meminta wang atau maklumat bank,” katanya.

Artikel Berkaitan: