Perlu ada langkah ‘menang-menang’

Keratan kolum Dr Chamil Wariya dalam Sinar Ahad semalam. Gambar kanan: Khaidir
Keratan kolum Dr Chamil Wariya dalam Sinar Ahad semalam. Gambar kanan: Khaidir
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah kerajaan mengiklankan kempen-kempen awam melalui media arus perdana adalah pendekatan ‘menang-menang’ bagi memanjangkan jangka hayat industri media di Malaysia yang semakin tenat ketika ini.

Mantan Pengarang Kumpulan Berita Harian dan Perunding Media, Khaidir A Majid berkata, industri media terutama media arus perdana berperanan besar dalam menyebarkan mesej kepada rakyat.

Menurutnya, kredibiliti media arus perdana masih ditagih kerajaan susulan industri itu mengamalkan etika kewartawanan tinggi dengan penekanan disiplin berita kebenaran yang boleh diyakini, dipercayai dan disampaikan dengan lebih teratur.

“Dari sudut kepentingan rakyat pula, peranan media arus perdana membolehkan rakyat meluahkan pandangan, rungutan dan cadangan kepada kerajaan bagi memastikan amalan demokrasi di Malaysia kekal subur.

“Tanpa media arus perdana dijadikan mekanisme rakyat untuk meluahkan pandangan kepada kerajaan, amalan demokrasi dibimbangi tidak berjalan lancar dengan kerajaan gagal menyelami isi hati dan permasalahan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau mengulas artikel tulisan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya yang menyarankan agar kerajaan segera menyalurkan bantuan kepada industri media tempatan yang terkesan teruk akibat ‘gangguan’ teknologi digital dan pandemik koronavirus (Covid-19).

Dalam artikel itu, Dr Chamil turut menggesa kerajaan agar tidak menganaktirikan industri media dan segera menyalurkan bantuan secara tidak langsung menerusi perbelanjaan pengiklanan.

Khaidir berkata, kerajaan bakal berdepan masalah besar sekiranya industri media arus perdana gulung tikar.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ketiadaan media arus perdana menyebabkan kerajaan terpaksa bergantung kepada media sosial untuk menyebarkan maklumat. Bagaimanapun, kaedah itu berisiko kerana platform tersebut tidak menjamin tahap kesahihan, penapisan dan ketelusan berita mengikut standard ditetapkan.

Khaidir menyifatkan kaedah pemberian suntikan dana khas untuk membantu membayar sebahagian gaji pekerja syarikat-syarikat media arus perdana terjejas bukanlah satu solusi terbaik.

Menurutnya, kaedah itu akan menyebabkan media yang diberi bantuan khas itu tidak lagi bebas dalam melaporkan berita.

“Sebaliknya kerajaan boleh bantu industri media arus perdana di Malaysia dengan cara membeli ruang pengiklanan dalam surat khabar atau portal media bagi mempromosi kempen-kempen kesedaran rakyat sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.

“Kita sedia maklum kerajaan memperuntukkan dana yang besar untuk mempromosi pelbagai kempen meningkatkan kesedaran rakyat sepanjang Covid-19 seperti kempen penjagaan kesihatan awam, kempen mempromosi amalan normal baharu dan kempen rangsangan ekonomi bagi menggalakkan rakyat berbelanja.

“Saya percaya usaha kerajaan meningkatkan promosi kempen berkenaan menerusi media arus perdana bukan sahaja akan memberi manfaat besar kepada rakyat, bahkan turut membantu meneruskan kelangsungan industri itu untuk kekal beroperasi,” katanya.