'Masa depan kami satu tanda tanya besar'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Berita yang ditulis teliti kemudian dicetak rapi di helaian akhbar tidak akan sampai kepada pembaca tanpa adanya syarikat pengedar akhbar atau vendor.

Hubungan kedua-dua entiti itu umpama aur dengan tebing, namun kini masing-masing saling dibadai kesan pandemik Covid-19.

Bagi Iyngaran Sinnavellayan, yang menguruskan syarikat pengedar akhbar, MagNews Sdn Bhd, situasi industri surat khabar yang nazak menyebabkan vendor dan ejen semakin dihimpit kesusahan.

“Masa depan kami adalah satu tanda tanya besar,” kata Iyngaran yang menguruskan pengedaran akhbar ke kawasan Klang dan Shah Alam termasuk ke kedai-kedai serbaneka seperti 7-Eleven.

Iyngaran yang mengambil alih perniagaan daripada ayahnya pada tahun 2002 berkata, industri surat khabar sememangnya mengalami kejatuhan teruk sejak berita digital mula diperkenalkan.

“Keadaan sudah teruk sejak sebelum Covid-19 melanda, namun kini ia menjadi semakin parah,” kata pemuda berusia 36 tahun yang merupakan generasi kedua pengedar akhbar.

Menurutnya, sejak 10 ke 15 tahun kebelakangan ini, graf industri surat khabar menunjukkan penurunan dan pendapatan yang diperoleh hanya sekadar cukup makan.

“Pengedaran surat khabar bukan seperti barangan lain, jika terlewat sampai disebabkan beberapa faktor seperti cuaca buruk dan sebagainya maka ia akan menjejaskan penjualan.

Artikel Berkaitan:

“Keuntungan hanya dikira berdasarkan bilangan akhbar yang terjual dan selebihnya yang tidak terjual akan kami ambil semula,” katanya.

Iyngaran berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pertengahan Mac lalu, hasil jualan semakin merosot akibat penutupan kedai-kedai dan pejabat-pejabat.

“Untuk tahun tahun ini, dua bulan sebelum bulan puasa, jualan telah menurun teruk,” katanya.