'Ramadan tahun ini lain sekali'

Saieah bersama pasukannya semasa menyantuni anak yatim di Rembau.
Saieah bersama pasukannya semasa menyantuni anak yatim di Rembau.
A
A
A

SEREMBAN - "Rindu nak menyantuni dan berkunjung ke rumah asnaf". Itulah ayat pertama yang diluahkan apabila ditanya kenangan Ramadan yang paling dirindui kepada Pengerusi Biro Kebajikan Masyarakat Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Negeri Sembilan, Datin Saeiah Tarmizi.

Menurut isteri kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Zulkefly Mohd Omar ini, setiap kali Ramadan beliau bersama ahli AWAN Negeri Sembilan akan melakukan kunjungan ziarah asnaf rumah ke rumah untuk bertanya khabar.

Namun katanya,Ramadan kali ini sungguh berbeza, semua aktiviti yang biasa dilakukan tidak dapat dilaksanakan lagi, disebabkan negara melancarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan penularan wabak Koronavirus (Covid-19).

Menurut Saeiah, beliau akur dengan keputusan kerajaan, cuma rasa terkilan aktiviti biasa yang dilakukan pada bulan Ramadan terpaksa dihadkan.

"Kalau dulu setiap kali Ramadan kami akan berkunjung ke rumah asnaf, menyantuni mereka dan bertanya khabar terutamanya golongan warga emas yang tinggal sendirian di kampung.

"Dalam kunjungan itu, kami akan memberi sedikit sumbangan keperluan harian dan ada juga juadah makanan untuk mereka makan.

"Kenangan yang tidak dapat dilupakan. Apabila kami bertemu dengan pasangan warga emas yang sakit terlantar, uzur, nampak sangat naif sehinggakan kami yang melihat menangis kerana memikirkan bagaimana mereka menjalani kehidupan berdua macam itu, mujur ada jiran yang baik hati sediakan makanan untuk mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saieah bersama anak yatim semasa berkunjung ke rumah anak yatim.
Saieah bersama anak yatim semasa berkunjung ke rumah anak yatim.

Tambahnya, beliau bersama pasukannya sangat merindui untuk melakukan kerja-kerja kebajikan bersama seperti itu, bertemu masyarakat, asnaf dan warga emas.

Kata Saieah, pernah suatu hari, ketika mereka melakukan ziarah ke sebuah rumah warga emas di Johol, mak cik itu menangis kerana katanya dia tidak pernah dikunjungi oleh sesiapa.

"Kami kalau jumpa orang, santun warga emas mesti akan salam peluk cium. Kita bayangkan mak cik tua itu sama seperti ibu kita, jadi kita layan mereka, peluk mereka seolah da lama kenal.

"Dari situlah akan timbulnya rasa kasihan, simpati terutamanya dengan mereka yang tinggal sendirian dan apabila kami hendak pulang, ada segelintir mereka menangis sambil melambaikan tangan," katanya.

Katanya, meski pun tidak dapat melakukan lawatan dan santuni masyarakat seperti dulu tetapi kenangan manis seperti itu tidak akan dapat dilupakan.

"Kami hanya mampu serahkan sumbangan dari jarak jauh sahaja, tiada lagi salam peluk cium, hanya menundukkan kepala sebagai tanda selamat tinggal.

"Semoga semuanya akan berakhir dengan segera, dan masyarakat dapat kembali melakukan aktiviti kemasyarakatan sama seperti dulu walau pun dengan mengamalkan norma-norma baru,"katanya.