Nasi goreng belacan pengikat selera DSV

Datuk Seri Vida bersama masakannya, nasi goreng belacan.
Datuk Seri Vida bersama masakannya, nasi goreng belacan.
A
A
A

IPOH - Siapa yang tidak suka makan nasi goreng? Boleh dikatakan hampir setiap daripada kita akan makan nasi goreng tidak kiralah dijadikan sarapan pagi, tengah hari atau makan malam.

Selain mudah dimasak, hidangan itu sangat sedap dan mengenyangkan apatah lagi jika disediakan dengan pelbagai variasi.

Tidak hairanlah, nasi goreng juga menjadi antara menu pilihan utama buat jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali dengan nama Datuk Seri Vida ketika makan bersama keluarga pada Ramadan ini terutama waktu sahur.

Paling digemari beliau adalah nasi goreng belacan yang merupakan nasi goreng paling ringkas dan melambangkan rakyat Malaysia kerana mengetengahkan belacan sebagai bahan utama.

Menurutnya, selain mudah disediakan, hidangan berkenaan tetap berkhasiat dan memenuhi kumpulan nutrisi makanan yang diperlukan.

"Macam nasi goreng belacan yang saya buat ini, saya tambah udang, sotong dan kacang panjang.

"Walaupun ringkas, tetapi saya tetap pastikan ia seimbang, gabungan karbohidrat, protein dan sayur-sayuran yang cukup untuk bekalan tenaga kita berpuasa," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Nasi goreng belacan itu menjadi hidangan penarik selera pada ketika beliau dan anak-anak kurang selera makan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau rasa tak ada selera, anak saya Cik B dan Kacak akan minta saya masakkan nasi goreng belacan, campak-campak siap.

"Makan waktu sahur pun boleh bertambah sampai dua tiga kali," katanya.

Istimewanya nasi goreng belacan Datuk Seri Vida dihidangkan bersama sambal belacan resipi turun temurun dan dimakan bersama kulit popia yang digoreng menjadi bentuk mangkuk.

---------------------------------------------------------------

Bahan A (tumbuk):

3 Bawang Merah

2 Bawang Putih

7 tangkai cili padi

1 inci belacan

Bahan B:

2 biji telur,

1 sudu teh serbuk kunyit

200 gram udang

100 gram sotong

1 kiub pati ikan bilis

1 sudu besar sos ikan

Garam

Gula

Semangkuk nasi

Kacang panjang dipotong kecil-kecil

Minyak masak

Sambal belacan:

Bawang putih (dibakar)

Belacan (dibakar)

7 tangkai cili padi

Secubit garam

Asam Jawa

Sebiji tomato

2 biji limau kasturi

Cara memasak:

  • 1. Panaskan minyak masak dan tumis bahan A hingga naik bau.
  • 2. Masukkan telur dan kacau hingga garing.
  • 3. Masukkan serbuk kunyit, udang, sotong, kiub ikan bilis, sos ikan, garam dan gula secukup rasa. Kacau hingga sebati.
  • 4. Masukkan nasi dan gaul sama rata serta masukkan kacang panjang bagi menjadikan nasi goreng mempunyai rasa rangup.
  • 5. Hidangkan bersama sambal belacan.