Sekarang bukan masa sesuai

A
A
A

SEMINGGU lagi Dewan Rakyat akan bersidang. Persidangan Dewan Rakyat perlu berlangsung pada 18 Mei ini untuk mengelakkan tempoh enam bulan berlalu tanpa sebarang mesyuarat.

Seperti yang dilaporkan, persidangan kali ini hanya akan berlangsung selama satu hari susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Sidang kali ini juga akan menyaksikan Perikatan Nasional (PN) dianggotai UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tampil sebagai blok kerajaan.

Pakatan Harapan (PH) dianggotai DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan sebahagian pemimpin Bersatu yang tidak menyertai PN kembali menjadi pembangkang, sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai Ketua Pembangkang.

Walaupun berlangsung selama satu hari, sidang kali ini cukup penting untuk membincangkan cara terbaik mencegah Covid-19.

Tan Sri Muhyiddin Yassin setakat ini menunjukkan kredibiliti dan ketrampilan beliau sebagai Perdana Menteri, apabila mengambil langkah pencegahan drastik mengekang wabak ini daripada terus merebak dalam kalangan rakyat.

Beliau mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa mulai 18 lalu dan semalam mengumumkan perintah itu dilanjutkan empat minggu lagi sehingga 9 Jun depan.

Sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin bukan sahaja perlu memastikan bekalan makanan dan keperluan asas yang mencukupi semasa berdepan penularan pandemik Covid-19, tetapi juga perlu memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli makanan dan keperluan asas tersebut dengan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Ketika negara sedang dilanda musibah, seluruh pemimpin sepatutnya menunjukkan penyatuan dan kesepaduan walaupun berbeza ideologi politik namun ada yang terus bermain politik dalam mencapai matlamat mereka untuk menguasai pemerintahan negara.

Mengabaikan sentimen rakyat yang sudah bosan dengan pergolakan politik yang pernah berlaku sebelum ini, pembangkang telah menimbulkan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin.

Tidak sesuai

Majoriti rakyat berasakan bahawa usul itu tidak sesuai dibawa ke Parlimen memandangkan ketika ini Muhyiddin dan seluruh Kabinet berhempas-pulas membantu rakyat menghadapi Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi akibat wabak itu.

Rakyat sebenarnya sudah muak dengan permainan politik yang menyebabkan keperluan mereka terabai. Rakyat tidak mahu melihat berlakunya krisis dan ketidakstabilan politik sekali lagi angkara sikap pemimpin yang tamakkan kuasa.

Selepas kegembiraan pada 9 Mei 2018 dan dengan harapan yang tinggi terhadap Malaysia Baru, kerajaan PH runtuh akibat perebutan kuasa kerusi Perdana Menteri secara berterusan antara Anwar dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

PH telah diberi peluang selama 22 bulan mentadbir negara tetapi mereka sendiri yang gagal membalas kepercayaan rakyat apabila mempamer prestasi mengecewakan bagi Malaysia yang berbilang kaum.

Pada ketika ini Dr Mahathir dan Anwar perlu mengutamakan negara terlebih dahulu daripada diri mereka sendiri. Kita tidak boleh kalah dalam peperangan ini dan usahlah diganggu usaha serta tumpuan kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

Tunggu Pilihan Raya Umum ke-15 nanti sekiranya ingin berkuasa semula. Biarlah rakyat menentukan siapa yang layak mendapat mandat mentadbir negara.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Sinar Harian