X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan rentas negeri tanpa alasan munasabah: KPN

Tan Sri Abdul Hamid Bador
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengingatkan orang ramai untuk tidak melakukan pergerakan rentas negeri selepas kebenaran perjalanan selama hari empat hari sejak 7 Mei lepas tamat hari ini.

Beliau berkata, bermula esok, orang ramai yang ingin melakukan pergerakan rentas negeri perlu mempunyai alasan munasabah serta mendapat kebenaran pihak polis terlebih dahulu.

"Sekiranya masih ada keperluan oleh sesiapa untuk membuat pergerakan rentas negeri, maka alasannya mestilah munasabah seperti menziarahi kematian ahli keluarga terdekat.

"Bagi tujuan sebegini, maka kebenaran polis mestilah diperoleh terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kelmarin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor sebagai berkata, pergerakan rentas negeri selepas 10 Mei memerlukan kebenaran daripada polis dan hanya kes kecemasan akan dibenarkan.

Ismail Sabri berkata, individu yang memerlukan kebenaran pergerakan itu boleh memohon di balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, polis percaya tempoh empat hari pergerakan rentas negeri yang dibenarkan memadai untuk menyatukan keluarga yang terpisah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kebenaran rentas negeri ini adalah untuk mengurangkan beban psikologi mereka yang terpisah dengan ahli keluarga sejak pelaksanaan PKP mulai 18 Mac lepas," katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa jadual pergerakan yang disusun selama empat hari adalah bagi mengelak berlaku kesesakan di jalan raya.

"Ia juga dibuat bagi membolehkan polis merekodkan data-data pergerakan. Data pergerakan rentas negeri ini amat berguna bagi tujuan pengesanan kontak sekiranya ada terkesan (koronavirus) Covid-19," katanya.

Bernama hari ini melaporkan bahawa pergerakan rentas negeri yang dibenarkan memasuki hari keempat dan terakhir, dengan rata-rata perjalanan melibatkan pergerakan dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu lancar dan trafik adalah terkawal. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!