X

Kindly register in order to view this article
!

Normal baharu lebih kreatif

A
A

COVID-19 yang menyebabkan terhentinya rutin harian telah menjejaskan hampir semua aspek kehidupan manusia di seluruh dunia. Pandemik itu juga telah mewujudkan new normal atau kebiasaan baharu menyebabkan kita perlu merubah cara berfikir, bertingkah laku dan bertindak. Lockdown yang diperkenalkan menyebabkan tindakan kita lebih kreatif dan produktif.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi nafas lega kepada peniaga dan industri yang menyumbang kepada kerancakan ekonomi negara.

Sebelum ini, banyak perkara yang kita tidak terfikir telah menjadi new normal. Kita perlu akur dengan duduk di rumah semasa larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Malahan kita pun tidak menyangka tidak boleh sembahyang berjemaah dan solat Jumaat di masjid dan surau dalam tempoh PKP ini.

Menurut pakar kesihatan dunia, kemungkinan Covid-19 akan kekal sekurang-kurangnya satu tahun lagi. Sehingga kini, belum ada vaksin atau penawar untuk Covid-19 dan tidak dijangka akan diperoleh dalam tahun ini.Akibat Covid-19, dua peperiksaan awam dibatalkan tahun ini. Keputusan Kementerian Pendidikan membatalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun ini sememangnya tepat. Begitu juga jadual peperiksaan utama sekolah menengah ditangguhkan hingga tahun hadapan.

Namun hakikatnya new normal yang perlu diterima adalah kita juga perlu mengubah penilaian bukan lagi berdasarkan peperiksaan semata-mata. Kita perlu lebih kreatif mencari jalan keluar di atas kemelut yang berlaku.

Sebenarnya kita perlu mengukur prestasi kefahaman pelajar membabitkan semua keperluan, bukan hanya menjadikan peperiksaan sebagai kayu pengukur kecemerlangan.

Justeru, sekarang ini pihak sekolah meminta pelajar menguasai pelajaran dan pengajaran secara serius di rumah. Dalam tempoh PKP pelajaran diteruskan dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti melalui aplikasi dalam talian, WhatsApp, Telegram, radio dan buku teks.

Walaupun tanpa peperiksaan awam, pelajar perlu terus belajar dan mengulang kaji pelajaran melalui teknik pengajaran dan pembelajaran (PdP) terutama mengaplikasikan kemudahan teknologi, termasuk berinteraksi dengan guru untuk mendapatkan tunjuk ajar serta rujukan. Lumpuh

Dari segi ekonomi, Covid-19 sebenarnya telah melumpuhkan sesetengah sektor pekerjaan dan perniagaan seluruh dunia. Andainya wabak ini tidak dapat dibendung, kemungkinan akan banyak koglamerat dan syarikat besar akan ditutup.

Kita perlu mengubah strategi dan tindakan agar mencari jalan keluar akibat wabak ini. Mulai sekarang, banyak syarikat swasta, persendirian mulai mengurangkan pekerja dan memberi notis pemberhentian.

Beberapa perniagaan kecil mungkin dapat bertahan selama beberapa bulan dengan bantuan tambahan dan geran daripada kerajaan selepas Kerajaan mengumumkan pakej penyelamatan bernilai RM10 bilion untuk membantu perniagaan menghentikan pemberhentian wajib daripada semua aktiviti tidak penting semasa PKP. Selain mengelakkan pemberhentian pekerja.

Namun langkah proaktif dan pengurusan risiko perlu dilakukan sekarang daripada menerima padah yang lebih teruk. Jika kita renungkan sejenak, pengalaman melalui pandemik Covid-19 ini pasti akan memberi kita banyak pengajaran. Ramai di antara kita akan menyedari betapa pentingnya disiplin diri, usaha pencarian maklumat melalui terlalu banyak mesej dan petua untuk berhubung kembali dengan orang lain. Juga memperoleh kemahiran baharu, bersenam dan selebihnya.

Namun yang lebih penting, new normal perlu serasi dan menjadi amalan biasa buat masyarakat. Kita perlu berfikir di luar kebiasaa agar kita dapat bekerja dan menjalani kehidupan seperti biasa.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus