Stres xenofobia pasca Covid-19

A
A
A

COVID-19 membawa pelbagai impak dalam kehidupan individu, sama ada di organisasi mahupun rumah. Penjarakkan sosial adalah impak segera yang mana pengasingan individu dengan individu lain atau kumpulan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. Penjarakkan sosial itu boleh mempengaruhi persepsi seseorang terhadap seseorang individu lain yang akan mencetuskan xenofobia. Dengan status pandemik globalnya, Covid-19 dijangka menimbulkan xenofobia yang ketara.

Xenofobia merupakan ketakutan atau kebencian terhadap sesuatu yang asing yang sering dikaitkan dengan kumpulan, kaum atau bangsa. Perasaan itu tidak dapat dielakkan kerana manusia mempunyai persepsi dan berfikir mengikut kerangka pemikiran masing-masing termasuklah peristiwa hitam yang berkaitan dengan Covid-19.

Sebagai contoh, ramai pihak menuding jari kepada jemaah tabligh secara keseluruhan sebagai penyebab kepada gelombang kedua Covid-19 di Malaysia. Sebelum itu, pelancong dari negara China dipandang serong hanya kerana Covid-19 bermula di Wuhan.

Berdasarkan perkembangan semasa, tahap keseriusan xenofobia di Malaysia tidaklah begitu merisaukan tetapi kadangkala agak terkeluar daripada norma masyarakat timur.

Perasaan cemas dan bimbang yang berpanjangan dalam kalangan masyarakat akibat xenofobia boleh mencetuskan stres. Xenofobia perlu ditangani segera sebelum ia menyebabkan kemurungan dan memberi impak terhadap kesihatan fisiologi. Justeru, pada peringkat awal, organisasi perlu menambahbaik prosedur keselamatan dan kesihatan pekerjaan agar semua warganya yakin untuk berinteraksi dengan warga asing dan warga luar daripada lingkungan masing-masing seperti sebelumnya.

Fungsi keselamatan dan kesihatan pekerjaan dilihat sebagai fungsi berperanan penting dalam mana-mana institusi semasa dan pasca Covid-19. Prosedur amalan kesihatan pekerjaan yang terperinci perlu dibangunkan agar individu berasa selesa untuk berurusan dengan mana-mana individu atau kumpulan dari luar organisasi terutamanya dari luar negara.

Kerjasama

Tindakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menamakan Covid-19 sebagai Wuhan Virus adalah suatu tindakan yang sangat bijak bagi mengekang xenofobia. Pada hemat penulis, WHO telah belajar daripada kesilapan lampau mereka yang menamakan wabak penyakit mengikut nama lokasi seperti Ebola yang bersempena nama Sungai Ebola di Afrika, MERS yang bermula di Negara Timur Tengah, atau Spanish Flu yang berasal dari Sepanyol.

Artikel Berkaitan:

Perasaan xenofobia juga boleh diminimumkan apabila individu memahami aspek silang budaya dan belajar menerima kepelbagaian individu lain tanpa prejudis bagi menjamin pembangunan diri dan organisasi.

Seterusnya, pihak berwajib atau kepimpinan organisasi dengan kerjasama netizen perlu menyekat penularan maklumat palsu tentang penyakit terutama yang mengandungi unsur kebencian/perkauman. Lambakan maklumat tanpa had tentang Covid-19 dalam media sosial sama ada ia tulen atau palsu makin memburukkan keadaan dan menyumbang kepada xenofobia dalam kalangan masyarakat.

Semua pemegang taruh wajar mempromosi kepentingan kerjasama antara warga ketika negara dilanda musibah terutamanya pasca Covid-19. Dengan kerjasama tanpa mengira warna kulit, fahaman agama dan politik, isu xenofobia boleh diminimumkan.

Xenofobia, diskriminasi kumpulan, rasisme serta pemulauan sesuatu kelompok oleh masyarakat perlu dihentikan segera kerana ia adalah racun kepada pemulihan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara. Perasaan itu jika dibiarkan berpanjangan boleh mencetuskan krisis ekonomi dan kemanusiaan ketara yang mana akhirnya memberi impak yang sangat besar dalam kehidupan pasca Covid-19. Marilah kita bersama-sama menghentikan xenofobia.

* Profesor Dr Zafir Khan bin Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia