Korea Selatan diancam gelombang kedua jangkitan Covid-19

Orang ramai beriadah di pantai Jukdo berhampiran Sokcho di Korea Selatan selepas keadaan kembali normal untuk kebanyakan aktiviti di negara itu. - FOTO: AFP
Orang ramai beriadah di pantai Jukdo berhampiran Sokcho di Korea Selatan selepas keadaan kembali normal untuk kebanyakan aktiviti di negara itu. - FOTO: AFP
A
A
A

SEOUL - Korea Selatan hari ini melaporkan 34 kes jangkitan baharu koronavirus (Covid-19) yang merupakan angka harian tertinggi sejak 9 April lalu selepas keadaan kembali normal berikutan pemerintah melonggarkan peraturan penjarakkan sosial pada Rabu lalu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC) memaklumkan, 26 daripada kes itu ialah jangkitan tempatan manakala lapan lagi kes import.

Data jangkitan baharu itu direkodkan selepas Seoul yang menjadi negara kedua paling terjejas pandemik itu selepas China mencatatkan sifar kes jangkitan sejak 10 hari lalu dan kes jangkitan mencecah satu digit sejak beberapa minggu lalu.

Susulan itu, ibu negara Korea Selatan telah mengarahkan penutupan kelab malam dan bar selepas kes baharu tersebut dikhuatiri mencetuskan gelombang kedua jangkitan Covid-19.

Langkah itu dibuat selepas Datuk Bandar Seoul mengumumkan kluster baharu di Itaewon.

Lebih 20 kes dikaitkan dengan seorang lelaki berusia 29 tahun yang disahkan positif Covid-19 selepas dia berkunjung ke lima kelab malam dan bar di Itaewon pada minggu lalu.

Pihak berkuasa kesihatan telah memberi amaran tentang peningkatan kes jangkitan berikutan kira-kira 7,200 individu dipercayai mengunjungi kelima-lima premis tersebut.

Semalam, 17 daripada 18 kes yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan kluster Itaewon. - AFP

Artikel Berkaitan: