KPDNHEP sita dua premis guna logo halal tamat tempoh

KPDNHEP Perak memeriksa salah satu premis di sekitar Ipoh dalam operasi bersepadu.
KPDNHEP Perak memeriksa salah satu premis di sekitar Ipoh dalam operasi bersepadu.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengesan dua premis di sekitar Ipoh yang menggunakan logo halal tamat tempoh dalam operasi bersepadu, semalam.

Ketua Seksyen Penguatkuasanya, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, premis pertama membabitkan sebuah restoran masakan India yang mempamerkan logo Halal tamat tempoh.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan awal dan keterangan yang diberikan oleh wakil premis tersebut menyatakan premis itu pernah memiliki Sijil Halal Malaysia sehingga Disember 2017.

"Namun pembaharuan tempoh Sijil Halal gagal diperolehi kerana pihak restoran tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

"Tindakan dan sitaan telah dibuat ke atas restoran berkenaan dengan menyita tujuh unit logo Halal, 20 unit kad nama yang mempunyai logo Halal dan satu unit Sijil Halal premis yang telah tamat tempoh," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Ahrazzuddin berkata, dalam pemeriksaan berasingan ke atas sebuah premis pembekal makanan sejuk beku juga mendapati premis tersebut turut menggunakan sijil halal tamat tempoh.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menjalankan perniagaan pembungkusan semula ke atas daging kambing dengan mempamerkan logo Halal Malaysia.

"Pengesahan awal oleh pegawai JAIPk menyatakan bahawa syarikat tersebut telah tamat tempoh pada Mac 2010.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan tindakan tersebut pihak KPDNHEP telah menyita 115 kg plastik bungkusan yang mempunyai logo Halal Malaysia dan dua unit bungkusan daging kambing yang mempunyai logo Halal Malaysia bagi tujuan siasatan," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 16 (1) Akta Perihal Dagangan 2011 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta.

Sementara itu, beliau berkata, sepanjang pemeriksaan yang dibuat sejak 11 Januari lalu, sebanyak 93 premis restoran diperiksa bagi seluruh Perak.

Katanya, pemeriksaan tidak hanya tertumpu kepada restoran mamak sahaja, tetapi merangkumi kepada premis restoran lain seperti restoran masakan Thai, restoran masakan Melayu dan restoran Kopitiam yang menggunakan apa-apa perbahasan halal.

"KPDNHEP memandang serius terhadap peniaga-peniaga yang menggunakan perbahasan halal ke atas premis dan barang-barang makanan serta perkhidmatan keluaran mereka.

"Kita juga akan mempergiatkan usaha-usaha untuk melindungi pengguna daripada penggunaan perbahasan halal oleh mana-mana pihak," katanya.

Ahmad Ahrazzuddin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya terdapat premis perniagaan yang menggunakan perbahasan halal bagi memperdaya atau mengelirukan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.