BAM yakin cukup masa

Kenny Goh
Kenny Goh
A
A
A

TEMPOH kira-kira dua bulan setengah adalah memadai untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan pemilihan pemain yang akan membawa cabaran negara ke Piala Thomas dan Piala Uber.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pihaknya mempunyai masa sehingga pertengahan Julai ini untuk menyenaraikan barisan pemain berpotensi ke kedua-dua kejohanan itu.

“Bulan Jun hanya untuk kita menyatakan sama ada kita setuju untuk menyertai kejohanan itu ataupun tidak. Sebenarnya, pendaftaran pemain kalau tidak silap saya pertengahan bulan Julai nanti.

“Kalau kejohanan diadakan pada bulan Oktober ini. Saya rasa banyak masa untuk pemain buat persediaan, mencukupi dan memadai," katanya kepada media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan akan mengemukakan permohonan khas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum sambutan Aidilfitri, bagi membolehkan skuad badminton negara memulakan latihan persediaan program Road To Tokyo (RTT) seawal 1 Jun ini.

Jika permohonan itu diluluskan, maka fasa kedua latihan yang dijadualkan bermula pada 15 Jun, akan melibatkan pemain yang akan dipilih ke kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber 2020 di Aarhus, Denmark yang berlangsung dari 3 hingga 11 Oktober.

Dalam perkembangan lain, Kenny enggan mengulas mengenai khabar angin bahawa BAM akan mendapatkan semula khidmat jurulatih badminton dari Indonesia, Rexy Mainaky, yang kini membimbing pasukan kebangsaan Thailand.

"Berita ura-ura ini susah hendak komen, Kami lebih suka untuk komen perkara yang ada kepastian. Tambah pula saya difahamkan Persatuan Badminton Thailand masih mahu lanjutkan kontrak beliau tahun depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rexy adalah individu yang bertanggungjawab membawa kejayaan buat beregu badminton negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong meraih pingat emas pada Sukan Asia Doha 2006.

Bagaimanapun, Rexy mengambil keputusan meninggalkan BAM pada 2012 selepas tujuh tahun bersama badan induk badminton negara itu. -Bernama