Pertukaran KP Imigresen tiada kaitan batal perjanjian PSSB

Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal dakwaan pertukaran Ketua Pengarah Imigresen baru-baru ini ada kaitan dengan keputusan kerajaan membatalkan perjanjian konsesi projek Skim Kawalan Imigresen Nasional (SKIN).

“Tuduhan ini adalah berniat jahat dan tidak benar sama-sekali. Ia mungkin sengaja dibuat oleh pihak-pihak berkepentingan yang tidak berpuas hati dengan cadangan KDN untuk membatalkan projek SKIN yang telah dipersetujui oleh jemaah menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata ketika dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab, beliau telah diberikan taklimat mengenai projek-projek Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu termasuk projek SKIN yang telah diluluskan secara rundingan terus kepada syarikat Prestariang SKIN Sdn Bhd (PSSB).

“Selaras dengan dasar kerajaan PH untuk mengkaji semula projek-projek bernilai tinggi yang diluluskan kerajaan terdahulu, saya telah mengarahkan sebuah jawatankuasa khas mengkaji semula projek SKIN secara terperinci. Setelah kajian dibuat, jawatankuasa ini mendapati terdapat beberapa kelemahan dalam terma perjanjian konsesi dan pelaksanaan projek,” katanya

Beliau berkata, antaranya ialah terma-terma kontrak lebih menguntungkan syarikat berbanding kerajaan, kos pelaksanaan projek terlalu tinggi dan bakal menjadi beban kewangan kepada kerajaan untuk jangka masa panjang, serta skop pelaksanaan projek yang terhad dan tidak memenuhi keperluan sebenar Jabatan Imigresen.

“Pihak jawatankuasa telah mengesyorkan supaya perjanjian konsesi dengan PSSB ditamatkan dan sebuah sistem baharu, iaitu Sistem Imigresen Malaysia Bersepadu dibangunkan. Sistem ini akan memenuhi keperluan sebenar Jabatan Imigresen Malaysia di samping memberikan penjimatan yang dianggarkan hampir RM1 bilion kepada kerajaan menerusi perolehan secara tender terbuka yang lebih kompetitif, telus dan adil.

“Syor oleh kementerian saya telah dibuat dengan amat teliti dan dibawa untuk pertimbangan kabinet sebanyak empat kali. Ia tidak dibuat secara sewenang-wenang. Hasilnya, KDN telah menyelamatkan wang kerajaan yang dianggarkan berjumlah hampir RM1 billion,” katanya .

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Khairul Dzaimee Daud dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen yang baharu pada 13 Januari lepas menggantikan Datuk Seri Mustafar Ali yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pusat Jenayah Kewangan Nasional berkuat kuasa 2 Januari.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin juga berkata dakwaan bahawa kontrak bagi pelaksanaan sistem baharu itu telah diberikan kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan seorang pegawai kanan KDN adalah tidak benar sama sekali.

“ KDN pada masa ini masih membangunkan skop dan spesifikasi sistem tersebut dan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri perolehan bagi pelaksanaan projek ini akan dibuat secara tender terbuka. Dokumen akhir tender dijangka siap pada bulan April tahun ini. Sehingga kini, tidak ada mana-mana syarikat yang telah dianugerahkan kontrak tersebut,” katanya.- Bernama