Covid-19: Johor terima 3.54 juta topeng muka

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor telah menerima sebanyak 3,537,360 topeng muka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, R Vidyananthan berkata, hingga kini, pengagihan telah dilakukan merangkumi 90 peratus penduduk Johor melibatkan 982,600 ketua isi rumah.

Jelasnya, setiap keluarga menerima sebanyak empat keping topeng muka sebagai langkah pencegahan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri dipertanggungjawabkan untuk melakukan penghantaran.

"Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Badan Pengurusan Bersama (JMB), Ketua Taman, Tuai Rumah dan jawatankuasa yang telah dipertanggungjawabkan untuk diagihkan kepada komuniti," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Vidyananthan berkata, sebanyak lapan daerah telah mencapai pengagihan 100 peratus manakala dua lagi daerah iaitu Johor Bahru dan Segamat, masing-masing sebanyak 98 peratus dan 95 peratus agihan hingga kini.

Dalam perkembangan sama, Vidyananthan berkata, Johor merekodkan perkembangan baik dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 apabila tiada kes baharu direkodkan sejak seminggu lalu hingga hari ini.

"Petanda positif ini hasil daripada kerjasama semua pihak yang memainkan peranan masing-masing termasuk anda yang kekal berada di rumah.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap trend ini terus menurun, sekali gus Johor terus bebas daripada pandemik Covid-19," katanya.

Untuk rekod, Johor mencatatkan 667 kes positif melibatkan 18 kes kematian dan setakat ini 474 kes dilaporkan sudah sembuh.