Gerak rentas Negeri Sembilan lancar

Mohammad semasa membuat pemeriksaan rentas negeri pagi tadi. - Foto Polis NS
Mohammad semasa membuat pemeriksaan rentas negeri pagi tadi. - Foto Polis NS
A
A
A

SEREMBAN - Pergerakan rentas negeri di Negeri Sembilan hari ini bagi mereka yang berdaftar di aplikasi Gerak Malaysia dan secara manual di balai polis berjalan lancar.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, setakat jam 8 pagi tadi, sebanyak 2,115 kenderaan memasuki Negeri Sembilan manakala 2,050 kenderaan pula dilaporkan keluar kawasan.

Menurutnya, 11 sekatan jalan raya dilakukan di seluruh negeri ini membabitkan sempadan di Negeri Sembilan dengan Selangor, Pahang, Johor dan Melaka.

"Kita mendapat maklumat daripada pihak Lebuhraya Plus bahawa sebanyak 2,115 kenderaan masuk ke Negeri Sembilan bermula jam 12 tengah malam tadi sehingga jam 8 pagi ini manakala jumlah kenderaan yang keluar setakat ini adalah sebanyak 2,050.

"Kita menjangkakan akan ada peningkatan jumlah kenderaan keluar masuk sehingga lewat petang nanti," katanya.

Mohammad memeriksa permohonan rentas negeri melalui Aps Gerak Malaysia pagi tadi. - Foto Polis NS
Mohammad memeriksa permohonan rentas negeri melalui Aps Gerak Malaysia pagi tadi. - Foto Polis NS

Beliau berkata demikian semasa melakukan tinjauan sekatan jalan raya di sempadan Nilai - Sepang di sini hari ini.

Mohamad berkata, hanya mereka yang membuat permohonan pergerakan rentas negeri menggunakan aplikasi Gerak Malaysia atau manual sahaja yang dibenarkan melepasi sempadan rentas negeri.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 39,643 permohonan diterima menerusi aplikasi Gerak Malaysia bagi pergerakan keluar masuk negeri di Negeri Sembilan setakat 9 Mei.

"Jumlah tersebut merangkumi 17,627 permohonan untuk keluar negeri dan 22,016 permohonan untuk masuk ke Negeri Sembilan.

"Bagi permohonan manual pula sebanyak 3,047 permohonan diterima, namun hanya 1, 217 permohonan diluluskan," katanya.

Sementara itu, hasil tinjauan yang dilakukan Sinar Harian mendapati keadaan lalu lintas di lebuh raya Plus dan di sekitar Seremban lancar walaupun aliran kereta semakin meningkat.