UMNO gesa kerajaan lebih jujur agih bantuan BPN

Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid Hamidi.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO mengesa proses pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) diagihkan secara lebih jujur demi memastikan Pakej Rangsangan Ekonomi dapat mencapai sasaran bagi membantu rakyat yang mengalami kesusahan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mendengar banyak keluhan ramai rakyat di media sosial bahawa mereka masih belum mendapat BPN seperti yang dijanjikan.

Menurutnya, keluhan-keluhan tersebut banyak dimuat naik di media sosial sejak beberapa minggu lalu dan sekiranya tidak ditangani dengan betul ia akan memberikan imej negatif kepada kerajaan dan Pakej Rangsangan Ekonomi itu sendiri.

“Saya tidak tahu apa masalahnya, jika permohonan mereka yang memohon bantuan diluluskan tapi pembayaran masih belum dibuat atas alasan birokrasi, maka kerajaan perlu mempercepatkan pembayaran bantuan tersebut.

“Ini kerana, bagi ramai pemohon, wang BPN ini sangat dinanti-nantikan terutama bagi mereka yang dipotong gaji dan terutamanya mereka yang kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh PKP,” katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Semak permohonan rayuan BPN mulai hari ini

'Kesian mak cik Kiah'

Katanya, antara masalah yang diutarakan orang ramai adalah mengenai pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menyebabkan mereka dikatakan secara automatik tidak layak mendapat BPN.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya kata Ahmad Zahid, mereka diminta untuk memohon bantuan menerusi Geran Khas Prihatin (GKP). Bantuan yang diberikan melalui GKP ini berjumlah RM3,000. Namun, ada beberapa kriteria yang perlu dipenuhi untuk seseorang itu memohon GKP.

“Antaranya jumlah jualan atau perolehan tahunan perniagaan kurang daripada RM300,000 dan masih aktif menjalankan perniagaan semasa permohonan dibuat. Maklumat lanjut berkaitan GKP boleh dilihat di link ini.

“Kekhuatiran saya adalah bagi pemohon BPN yang pernah mendaftar perniagaan dengan SSM tapi kini sudah tidak lagi aktif berniaga. Mungkin sekarang mereka sudah kembali menjadi pekerja atau bekerja sendiri dengan pendapatan yang tak seberapa.

“Lebih malang lagi jika perniagaan yang cuba mereka ceburi mengalami kerugian dan kini tidak punya sumber pendapatan sama sekali,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Ahmad Zahid berkata, oleh itu alasan digunakan sebelum ini bahawa sekiranya seseorang itu mempunyai syarikat yang berdaftar dengan SSM, secara automatik tidak layak untuk mendapat bantuan tunai BSH, BPN dan sebagainya sebenarnya tidak tepat.

“Ini kerana di negara kita juga terdapat ramai individu berniaga pada skala kecil (kategori PKS), ramai juga yang mengambil gaji bulanan sedikit sahaja dari syarikat mereka dan keuntungan syarikat yang diaudit dilaporkan ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menunjukkan keuntungan sangat kecil, di samping itu ada syarikat PKS yang mengalami kerugian.

“Saya berpandangan, sekiranya jumlah pendapatan tahunan mereka layak sebagai penerima bantuan (dari dividen syarikat dan gaji bulanan yang diambil), maka kerajaan seharusnya tetap memberi bantuan tunai kepada mereka menerusi BPN,” katanya.