X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat terus dihimpit kemiskinan

Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu, ternyata rakyat di negara kita dihimpit masalah kewangan yang serius.
A
A

KEDUDUKAN ekonomi negara kita terus tertekan ketika wabak Covid-19 masih belum nampak akan ada tanda-tanda melesap daripada menghantui kehidupan kita.

Ketika banyak sektor perniagaan mengalami kerugian berlipat ganda, ia sekali gus menggugat pendapatan rakyat jelata.

Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu, ternyata rakyat di negara kita dihimpit masalah kewangan yang serius.

Dalam ruangan lidah pengarang Sin Chew Daily, ia mempercayai segelintir rakyat di negara kita tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk mengharungi detik-detik yang sukar ketika ini.

“Apa yang boleh dilihat sejak i-Lestari dilancarkan pada awal April lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah meluluskan lebih 3.5 juta permohonan yang berjumlah RM1.66 bilion.

“Di bawah program i-Lestari, rakyat Malaysia boleh mengeluarkan RM500 sebulan selama 12 bulan daripada Akaun 2 KWSP mereka bagi meringankan beban yang dihadapi. Walaupun bimbang pengeluaran ini akan mengurangkan simpanan persaraan mereka, namun apakah mereka ada pilihan lain?”

Menurut akhbar itu, kekurangan simpanan bagi rakyat Malaysia sebenarnya bukan isu baharu sebaliknya ia sudah lama diperkatakan sekian lama.

“Menurut laporan kajian Bank Negara Malaysia pada tahun lalu, hanya enam peratus rakyat Malaysia mempunyai wang mencukupi untuk meneruskan hidup lebih enam bulan pada waktu kecemasan atau tempoh susah manakala 18 peratus lagi boleh hidup lebih tiga bulan.

“Ketika Covid-19 masih belum menular di negara kita, rakyat sememangnya sudah tiada simpanan mencukupi. Jadi apakah yang kita boleh harapkan setelah hampir dua bulan tidak dapat bekerja?”

Akhbar itu berharap rakyat di negara kita dapat mendapat pengajaran agar membut simpanan dan menguruskan kewangan sendiri dengan bijak.

Lidah pengarang Nanyang Siang Pau pula menumpukan isu pelupusan faedah tambahan ke atas ansuran pinjaman sewa beli yang diumumkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini.

Akhbar itu berkata, kerajaan terpaksa melakukan‘Uturn’ setelah menerima bantahan daripada peminjam terbabit di seluruh negara.

“Bukanlah menjadi satu amalan yang baik di negara kita apabila kerajaan seringkali mengubah sesuatu keputusan selepas menerima bantahan daripada rakyat.

“Ia jelas menunjukkan dalam isu pelupusan faedah tambahan yang dikenakan, sekiranya seseorang peminjam mengambil moratorium pinjaman sewa beli, tiada persefahaman dan komunikasi tercapai antara kerajaan dengan pihak bank,” kata akhbar itu.

Dalam membantu rakyat melalui detik susah ketika wabak Covid-19 masih menular di negara kita, akhbar itu menggesa institusi kewangan kita supaya lebih bersikap prihatin terhadap masalah peminjam daripada mementingkan keuntungan semata-mata.

“Kerajaan diminta tidak melakukan kesilapan seperti itu lagi. Apabila babitkan masalah kewangan rakyat, kerajaan dan bank sepatutnya menghulurkan bantuan dan meringankan bebanan golongan pemimjam dalam waktu yang sukar,” kata Nanyang Siang Pau.

Jelas akhbar Cina itu lagi, penularan Covid-19 telah melumpuhkan aktiviti ekonomi di seluruh dunia, termasuk negara kita.

“Memang tidak dinafikan bank dan institiusi kewangan adalah tunjang ekonomi negara dan memerlukan bantuan daripada Bank Negara dan kerajaan.

“Maka apabila peminjam dilanda masalah kewangan, menjadi tanggungjawab bank dan institusi kewangan ini untuk lebih proaktif menghulurkan bantuan serta meringankan beban pelanggannya,” tulis akhbar itu.

Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus